
BIARPUN sedang menjalani rawatan di hospital, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetap mahu mengikuti perkembangan semasa dan melakukan rutin kerja hariannya.
Menerusi perkongsian di laman Facebook (FB) anaknya, Muhammad Khalil berkata Abdul Hadi telah berpesan untuk membawa komputer riba dan ‘broadband’ miliknya ke hospital.
Muhammad Khalil turut berkongsi perbualannya bersama wakil khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu di FBnya hari ini.
“ Ley; kalau mari jangan lupa bawak laptop dan internet (broadband portable wifi ) ayah yer. Tak puas sangat duduk kat wad nie, boleh ayah ikuti berita dan buat kerja”. Itu perbualan saya dengan ayahanda Tuan Guru sebentar tadi dengan nada yang bersemangat,” tulisnya.
Sementara itu, Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan bapanya.
“Terima kasih atas ucapan dan doa dari semua pihak dan memahami keadaan semasa agar Tuan Guru dapat rehat secukupnya,” ujarnya.
Terdahulu, Abdul Hadi dilaporkan dimasukkan ke Jabatan Kecemasan, Hospital Putrajaya akibat sesak nafas, jam 7.50 malam semalam.
Beliau kemudian dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan susulan. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :
