Tragedi Tahfiz: Nasib remaja didakwa bunuh 23 individu diketahui esok

0
3

Nasib seorang remaja lelaki yang didakwa membunuh 23 individu dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di ibu negara hampir tiga tahun lalu, akan diketahui esok.

Memetik laporan Bernama, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah dijadualkan memberi keputusan pertuduhan sama ada tertuduh bebas atau sebaliknya pada jam 2.30 petang.

Pihak pembelaan mengakhiri kes mereka pada 19 Jun lalu selepas memanggil enam saksi.

Pada 28 Januari lalu, Azman memerintahkan remaja itu membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh yang kini berusia 19 tahun.

Mahkamah bagaimanapun melepas dan membebaskan seorang lagi individu yang seusia remaja itu, yang dituduh bersama-samanya tanpa dipanggil membela diri.

Pada awalnya, mereka dituduh secara bersama atas kesalahan membunuh, namun pertuduhan itu dipinda susulan keputusan pada akhir kes pendakwaan.

Menurut pertuduhan yang dipinda, remaja itu bersama seseorang yang tidak dicamkan, dituduh membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini, antara jam 4.15 pagi dan 6.45 pagi, 14 September 2017.

Dia didakwa dengan 23 pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan Seksyen 97(2) akta sama.

Seksyen 94 akta sama memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan ibu bapa atau penjaga dikenakan denda atau pampasan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam, Haijan Omar.

Seramai 71 saksi memberi keterangan semasa peringkat pendakwaan yang bermula pada 30 Mei 2018.

Antaranya, Pengarah (Bahagian Keselamatan Kebakaran) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Putrajaya, Edwin Galan Teruki yang memberitahu mahkamah injap dua tangki gas yang ditemui di lokasi kebakaran telah ditebuk.

Seorang lagi saksi, pegawai sains di Makmal Siasatan Kebakaran JPBM Kuala Lumpur, Yusnita Osman berkata, kesan petrol ditemui pada sampel yang diambil dari bangunan yang terbabit dalam kebakaran itu.

Sementara itu, remaja berkenaan dalam pembelaannya menafikan berada di pekarangan tahfiz ketika kejadian.

Seorang lagi saksi pembelaan, remaja berusia 19 tahun, memberitahu Mahkamah Tinggi yang dia bersama-sama tertuduh serta rakan-rakan lain menghisap ganja sebelum kebakaran berlaku.

Saksi pembelaan ketiga itu berkata, enam rakannya termasuk tertuduh, datang ke rumahnya dan mereka kemudian menunggang motosikal ke sebuah pondok di Taman Balak, Datuk Keramat, di sini untuk menghisap ganja antara jam 1 dan 2 pagi pada 14 September 2017.

Tragedi menyayat hati itu mengorbankan 21 pelajar dan dua guru yang terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz berkenaan.