PENYANYI dan pelakon, Adibah Noor menjelaskan niatnya memperbetulkan sebutan bahasa Inggeris artis dan menteri di media sosial adalah untuk berkongsi ilmu, bukan untuk memalukan mereka.
Beliau yang juga mempunyai pengalaman sebagai guru bahasa Inggeris berkata, tujuan sebenarnya adalah untuk berkongsi ilmu, jadi tak perlu risau atau takut apabila ditegur kerana ia juga salah satu cara individu itu belajar memperbaiki sebutannya.
“Kenapa perlu gerun atau takut? Tak payahlah begitu. Memang ramai dalam kalangan rakan artis dan orang yang mengenali saya, mereka takut nak bertutur dalam bahasa Inggeris sebab takut saya betulkan.
“Saya rasa perasaan itu sebenarnya bukan takut atau gerun, tapi sebab malu. Malu sebab kita tak tahu dan tak cukup ilmu.
“Kerana malu maka ia diinterpretasikan sebagai takut. Tak perlu takut, tak perlu gerun. Saya hanya membetulkan atau berkongsi dengan pengikut dan sesiapa saja yang sudi tengok video itu,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Adibah berkata, dia hanya memperbetulkan satu perkataan saja dalam ucapan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.
“Saya buat itu sebab di dalam pertuturan walaupun dalam bahasa Melayu, kadang-kadang kita memang ada salah sebut tapi orang tetap faham.
“Itu sebabnya saya tak betulkan semua sebab secara keseluruhannya, cara beliau menyampaikan ucapan itu dengan sebutan-sebutan walaupun tidak berapa betul, tapi ia boleh diterima kerana masih boleh difahami.
“Cuma satu perkataan itu yang saya betulkan kerana memang sebutannya salah. Itu saja,” katanya.
Adibah berkata, ketika bersekolah dulu, pasti ada beberapa guru yang ditakuti pelajar.
“Kita ada guru-guru yang menggerunkan. Sebab apa? Sebab dia garang dan tegas kan? Tapi, kita dapat ilmu daripada dia. Kalau dia tidak tekankan sesuatu ilmu itu, sampai bila-bila kita tiada ilmu itu.
“Jadi, tujuan saya adalah untuk kita sama-sama belajar. Untuk berkongsi apa yang saya tahu. Saya ini bukanlah handal sangat dalam bahasa Inggeris,” katanya.
Adibah sedar mungkin ada beberapa pihak tidak menyukainya apabila dia menyentuh atau memberi perhatian kepada selebriti dan tokoh tertentu.
“Ada juga yang cakap dengan saya, tak bolehkah kalau tak bagi tumpuan kepada orang-orang ini kerana mereka akan dikecam dan sebagainya.
“Saya berbuat demikian memang mahu ia viral, tapi bukan sebab nak popular. Apabila ia viral, kita senang nak ingat. Jadi penyebaran ilmu itu lebih banyak dan luas,” katanya.
Semalam, Adibah mengambil inisiatif memperbetulkan sebutan Rina yang dilihat kekok memberi ucapan dalam bahasa Inggeris menerusi satu persidangan secara maya, baru-baru ini.
Sebelum ini, Adibah turut tampil dengan video dia memperbetulkan sebutan bahasa Inggeris seorang pembaca berita dan sebutan yang betul judul filem antarabangsa seperti Tomb Raider, Predator dan Skyscraper. – Malaysiapost

