STESEN televisyen NTV7 dilaporkan akan menutup tirainya, digantikan kepada saluran TV Pendidikan yang dikenali sebagai DidikTV KPM bermula Khamis ini.
Difahamkan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan saluran khas, DidikTV KPM itu yang akan bersiaran dari 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari, mulai 17 Februari ini.
Majlis pelancaran saluran itu akan disempurnakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada jam 8 pagi hari pertama siaran.
KPM dalam satu kenyataan berkata DidikTV KPM merupakan inisiatif berterusan dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara.
Menurut kenyataan itu, DidikTV akan menyiarkan program yang diterbitkan khusus berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM dan akan disiarkan menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di Astro dan saluran NTV7 di TV Unifi.
Dalam perkembangan berkaitan, pengacara dan pelakon, Sarimah Ibrahim yang memulakan karier di NTV7, meluahkan rasa sedih serta mengucapkan selamat tinggal kepada stesen tv itu.
Sarimah turut menzahirkan ucapan terima kasih di atas semua kenangan sepanjang perkidmatannya di NTV7.
”Selamat tinggal NTV7 Malaysia… saya memulakan perjalanan karier tv di sini, mengacara pelancaran NTV7 pada 7 April 1998 bersama Rosyam Nor dan Hairie Othman,” katanya menerusi Facebook. – Malaysiapost

