Presiden PAS stabil, mungkin kepenatan

0
2

PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berada dalam keadaan stabil dan memerlukan rehat selepas dilapor mengalami sesak nafas malam tadi.

Perkara itu disahkan anaknya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk, Muhammad Khalil.

“Saya baru bercakap dengan ayahanda Tuan Guru sebentar tadi. Keadaan beliau stabil dan perlukan rehat. Mungkin kepenatan kerana jadual yang padat.

“Mohon doa dari semua semoga beliau terus sihat untuk berkhidmat kepada ummah,” katanya.

Difahamkan, atas nasihat doktor, hanya keluarga dibenarkan melawat Abdul Hadi di Institut Jantung Negara (IJN).

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut berkongsi keadaan terkini Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang.

“Alhamdulillah. Keadaan Tuan Guru Presiden PAS stabil. Marilah kita berdoa agar Allah terus kurniakan kesihatan yang baik untuk beliau. Insya-Allah,” tulisnya di Twitter.

Abdul Hadi dilaporkan telah dimasukkan ke Jabatan Kecemasan, Hospital Putrajaya akibat sesak nafas, jam 7.50 malam tadi.

Beliau kemudian dirujuk ke IJN untuk rawatan susulan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here