Format SPM 2020 kekal, tidak berubah

0
4

CALON Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 tidak perlu gusar kerana format peperiksaan awam itu kekal sama dan tidak boleh diubah sewenang-wenangnya.

Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata ini kerana standard sijil SPM yang dikeluarkan telah diiktiraf pakar tempatan dan antarabangsa.

“Kurikulum dan standard soalan masih sama justeru tidak akan berlaku perubahan format dan jika berlaku sekalipun, ia perlu mengambil masa lama iaitu minimum tiga tahun dan boleh mencecah sehingga lima tahun kerana perlukan kajian.

“Sijil SPM ini bertaraf antarabangsa kerana itu tidak boleh diubah sewenang-wenangnya, jika tidak sijil tidak laku, anak-anak tak boleh sambung belajar di luar negara dan tidak boleh dapatkan biasiswa termasuk sukar mendapat pekerjaan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Beliau berkata demikian dalam program Ruang Bicara bertajuk ‘Peperiksaan Awam Tahun 2020 Dalam Norma Baharu’ terbitan Bernama TV malam tadi.

Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) sebelum ini menegaskan format peperiksaan SPM 2020 kekal seperti sedia ada sekali gus menafikan laporan perubahan format peperiksaan itu pada masa akan datang.

Pkharuddin juga berkata sekiranya terdapat calon positif Covid-19 atau yang diarah menjalani kuarantin kerana menjadi kontak rapat, mereka tidak akan dibenar menduduki peperiksaan.

“Dalam garis panduan kita jelas menyatakan dua kumpulan calon ini tidak boleh menduduki peperiksaan namun selepas mereka disahkan berada dalam keadaan sihat dengan surat pengesahan doktor, mereka layak menduduki kertas peperiksaan yang dijadualkan semula,” katanya.

Peperiksaan utama iaitu SPM dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dijadualkan bermula pada 22 Februari ini diikuti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020, serta peperiksaan antarabangsa setara tahun lalu.

Peperiksaan awam ini akan berlangsung sehingga 25 Mac melibatkan 401,105 calon. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here