MN tak guna sistem lama lantik pengerusi

0
4

Muafakat Nasional (MN) tidak mengguna pakai sistem ‘lapuk’ untuk melantik seseorang pemimpin parti sebagai pengerusi kerana setiap parti adalah setaraf dalam gabungan itu.

Memetik laporan Free Malaysia Today, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, berkata mempersoalkan sama ada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dipilih sebagai pengerusi gabungan itu, sudah ketinggalan zaman.

“Kita sudah tidak pakai sistem politik itu. Bersatu, Umno dan PAS, tiga-tiga boleh jadi calon,” katanya bagi menjawab kepada persoalan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Malah, Annuar menyifatkan Mukhriz ketinggalan 20 tahun ke belakang.

Mukhriz semalam dilaporkan berkata, kebiasaannya perdana menteri mengetuai sebuah pakatan politik, tetapi hampir mustahil untuk Muhyiddin menjadi pengerusi MN berdasarkan status “adik bongsu” dalam pakatan itu.

Ahli Parlimen Ketereh itu secara sinis turut menasihatkan Pejuang, parti baru yang ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya meniru model baharu MN.

“Untuk Pejuang bolehlah pakai. Buat parti, lantik anak. Itu model lama, model ayah lantik anak jadi pengerusi.

“Kena tiru model MN. Bertoleransi, tak ada masalah,” katanya.

Beliau berkata, BN mempunyai kerusi paling banyak di Dewan Rakyat berbanding PAS dan Bersatu, tetapi mereka bertolak ansur untuk Muhyiddin menerajui kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“BN kerusi paling banyak, (tetapi) bagi Muhyiddin jadi perdana menteri. Nanti bagi balik pada Umno jadi perdana menteri,” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata, MN bukan pakatan memfokuskan Melayu, sebaliknya ia membawa semangat dan konsep berbilang kaum yang sangat penting kepadanya.

“Setiap pihak akan mempunyai identiti mereka sendiri dan autonomi kita sendiri. Kita akan memperkukuhkan MN.

“Selepas ketiga-tiga parti itu (bersatu), kita akan membawa parti-parti berbilang kaum yang lain kerana MN bukan ‘Malay Centric’.