Ekonomi Sabah di bawah Warisan lembap

0
1

Sabah mencatat pertumbuhan ekonomi paling lembap dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri di paras paling rendah iaitu 0.5 peratus semasa pentadbiran kerajaan Parti Warisan Sabah, (Warisan).

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata Ketua Menteri yang juga Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal perlu mengakui kegagalan beliau mentadbir dan mengurus ekonomi Sabah sehingga KDNK negeri menjunam ke 0.5 peratus pada 2019.

Beliau berkata, Shafie dan pemimpin Warisan perlu menerima hakikat kegagalan mereka, sebaliknya bukan terus menyalahkan kerajaan terdahulu sebagai alasan menutup kegagalan.

“Shafie mengakui dirinya adalah pakar ekonomi dan bersama rakan-rakan sekutu politiknya dari UPKO, DAP dan PKR kononnya mampu mentadbir dan membangunkan negeri.


“Malangnya selepas lebih dua tahun mereka, keadaan ekonomi dan KDNK Sabah terus menjunam sehingga mencatat paras paling rendah,” katanya ketika merasmikan Persidangan Srikandi Bersatu Bahagian Tuaran di Tuaran, hari ini.

Hajiji yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulaman berkata, Shafie dan sekutunya gagal membangun ekonomi negeri dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah sehingga kadar penangguran meningkat.

Katanya, laporan terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia pada Ogos 2020 menyatakan, KDNK Sabah menguncup selama dua tahun berturut-turut iaitu 1.5 peratus pada 2018 dan 0.5 peratus pada 2019.

Katanya, kadar pengangguran juga berada pada paras terburuk dalam tempoh 20 tahun iaitu sebanyak 5.8 peratus, bermakna lebih 117,000 rakyat Sabah tidak mempunyai pekerjaan.

Beliau berkata, trend ekonomi negeri amat tidak sihat dan ini bukti bahawa Shafie dan Warisan gagal membangunkan negeri dan menjaga kebajikan rakyat Sabah.

“Selaku ketua menteri, tiada yang Shafie lakukan untuk meningkat dan merancak pertumbuhan ekonomi Sabah. Tanpa rasa malu beliau hanya pandai menuduh dan menyalahkan kerajaan terdahulu sehingga mengakibatkan KDNK menguncup,” katanya.

Hajiji berkata, untuk menyelamatkan keadaan ekonomi Sabah yang semakin tenat, rakyat yang tersalah memilih dan ‘ubah’ semasa PRU lalu perlu menolak Warisan dan sekutunya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.