Darurat tamat, baru boleh adakan PRU – Mukhriz

0
2

Nurul Huda Abhar

DARURAT perlu tamat dahulu baru boleh diadakan pilihanraya, kata Presiden Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Bagaimanapun, menurut beliau untuk menamatkan darurat, kadar jangkitan kes Covid-19 harus menurun ke satu paras yang terkawal di mana virus itu tidak akan mengancam nyawa rakyat.

Mukriz berkata, bagi menentukan perkara tersebut, satu Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 telah diwujudkan oleh kerajaan yang dianggotai 19 orang ahli, termasuk tiga wakil daripada pihak pembangkang.

“Kita tertanya-tanya apakah bentuk keputusan yang akan dikeluarkan oleh jawatankuasa khas ini. Adalah setelah mendapat laporan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pakar-pakar daripada pelbagai bidang baru lah jawatankuasa ini diyakini bahawa keadaan Covid ini sudah terkawal maka boleh disyorkan kepada Yang di-Pertuan Agong darurat boleh ditamatkan.

“Saya bangkitkan perkara ini kerana bimbang jika atas perkara-perkara tertentu walaupun wakil rakyat pembangkang tidak bersetuju mungkin majoriti buat keputusan untuk menamatkan darurat dengan tujuan untuk mengadakan pilihan raya umum.

“Dan ini pada hemat kami (Pejuang) adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana setelah berlakunya Pilihan Raya Negeri Sabah ketika itu kita lihat penularan virus ini meningkat mendadak dan mengancam nyawa rakyat bukan sahaja di negeri Sabah tetapi di seluruh negara,” katanya dalam sidang media secara virtual melalui aplikasi Zoom, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berpendapat tidak wajar diadakan pilihan raya umum dalam masa terdekat, dan seelok-eloknya perlu tunggu sehingga tamat penggal 2023.

Namun begitu, beliau berkata kerajaan boleh bertukar dalam tempoh tersebut jika ada pihak sudah mempunyai cukup majoriti tetapi tidak perlu adakan pilihan raya.

“Biarlah habis masa penggal 2023. Tapi kalau dalam tempoh itu nak tukar kerajaan sekalipun sekiranya dah cukup bilangan bolehlah tukar. Tidak perlu mendedahkan rakyat kepada ancaman Covid,” katanya.

Sementara itu, Mukhriz berkata keadaan darurat yang diadakan sekarang langsung tidak membantu mengurangkan jangkitan virus Covid-19, malah jumlah angka yang diumumkan pihak KKM mencecah 5,000 kes baharu.

Jelasnya lagi, sidang Parlimen juga ditangguhkan walhal keputusan melaksanakan darurat dan apa-apa jua ordinan yang dimasyurkan mestilah dibentangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Itu tidak dilakukan, malah ketika darurat diumumkan, selepas itu diberitahu dewan rakyat ditangguhkan buat sementara waktu.

“Saya lihat ini adalah satu yang terang-terang melanggar perkara 150(3) dalam Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan bahawa sebarang proklamasi darurat mahupun apa-apa ordinan yang dimasyurkan berkait dengan darurat tersebut mestilah terdahulu dibentang di Parlimen, malah nak tangguh Parlimen pun mesti dibentang di Parlimen dahulu,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, beliau berkata tujuan perlaksanaan darurat tersebut adalah sebagai agenda memastikan kelangsungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) naungan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pada hemat kami tujuan dilakukan darurat tidak lain tidak bukan demi kelangsungan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional (PN) yang telah menjadi kerajaan melalui sejumlah Ahli Parlimen yang telah lompat dari pihak Pakatan Harapan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here