Warga emas ditipu lebih RM3 juta

0
2

LELAKI warga emas kerugian RM3.81 juta selepas terpedaya dengan penipuan tawaran geran bantuan tidak wujud sejak Julai tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Johor, Asisten Komisioner Mohd Salleh Abdullah berkata mangsa berusia 74 tahun pada mulanya berkenalan dengan individu dikenali Freddie Khoo di Facebook.

Menurutnya, suspek menawarkan Geran Bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) kira-kira USD 150,000 (RM605,460) kepada mangsa.

“Mereka kemudian berhubung menerusi aplikasi WhatsApp dengan suspek menggunakan nombor +14697370743.

“Mangsa telah membuat bayaran kali pertama berjumlah RM12,800 sebelum suspek menaikkan tawaran kepada USD 900,000 (RM3.63 juta) supaya mangsa dapat membuat bayaran lebih untuk mendapatkan geran itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Salleh berkata, sepanjang Julai hingga Disember tahun lalu, sebanyak 64 transaksi dibuat ke dalam 10 akaun bank tempatan yang keseluruhannya berjumlah RM3.81 juta.

“Suspek kemudian memberitahu mangsa geran bantuan yang ditawarkan telah ditamatkan dan mangsa perlu membuat permohonan baru semula.

“Merasakan dirinya ditipu kerana tidak mendapat geran bantuan sebagaimana yang dijanjikan, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Tampoi,” katanya.

Menurutnya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Polis menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan individu tidak dikenali terutamanya di media sosial

“Masyarakat juga perlu lebih berhati-hati dan berwaspada, sentiasa membuat semakan awal latar belakang individu yang berurusan termasuk mendapatkan maklumat lanjut dengan pihak berkaitan seperti Bank Negara mengenai kewujudan geran bantuan yang ditawarkan,” katanya.

Mohd Salleh berkata, orang ramai juga boleh menyemak nombor akaun bank yang terbabit dengan jenayah komersil di portal semak mule ccid.rmp.gov.my. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/06/kebakaran-kilang-bongkar-kegiatan-proses-dadah/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here