SKMM pantau, siasat aplikasi Sugarbook

0
2

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan terus memantau dan menyiasat aplikasi ‘Sugarbook’ dan mengambil tindakan sekiranya didapati melanggar undang-undang.

Jabatan Komunikasi Korporat SKMM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, agensi itu sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan melibatkan laman mencari teman dalam talian itu.

“Tindakan terhadap pengguna dan pemilik platform berkenaan akan diambil sekiranya didapati melakukan aktiviti yang melanggar undang-undang negara ini.

“Jika terdapat unsur kegiatan pelacuran, tindakan lanjut akan dijalankan PDRM,” kata kenyataan itu yang dikongsi di laman Facebook rasmi SKMM.

Agensi berkenaan turut mengingatkan pengguna aplikasi Internet supaya sentiasa berhati-hati ketika melayari laman seperti ‘Sugarbook’ atau aplikasi lain yang menawarkan perkhidmatan mencari teman dan percintaan dalam talian, kerana berisiko terdedah kepada jenayah siber.

Menurutnya, internet dan aplikasi internet membuka ruang kepada komunikasi lebih luas dan terbuka termasuk aktiviti tidak bermoral seperti penganjuran parti liar, hubungan terlarang dan aktiviti bertentangan undang-undang seperti penyediaan khidmat pelacuran dalam talian.

“SKMM juga mengambil berat dengan gimik pemasaran laman cari teman Sugerbook baru-baru ini yang mendakwa semakin ramai wanita Malaysia terutama penuntut universiti menawarkan diri sebagai sugar baby di laman aplikasi tersebut.

“Gimik sedemikian perlu disiasat untuk disahkan kerana profil pengguna boleh diolah sesuka hati untuk tujuan berlainan termasuk memperdaya mangsa,” katanya.

Agensi berkenaan berkata, selain Suggarbook terdapat aplikasi lain yang menawarkan perkhidmatan ‘dating service’ atau percintaan dalam talian.

“Pengguna harus sedar mereka mudah tertipu dan terdedah kepada risiko jenayah siber sekiranya tidak mengambil langkah keselamatan siber dan kawalan kendiri.

“Risiko love scam akan bertambah dengan terdedah kepada ‘malware’ dan ‘spyware’, kebocoran maklumat peribadi dan gangguan seksual,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/15/sugarbook-akan-dikenakan-tindakan-tegas/

https://malaysiapost.com.my/2021/02/15/platform-sugarbook-com-suburkan-pelacuran-ahmad-amzad/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here