Aplikasi pelacuran sengaja babit pelajar IPT untuk promosi

0
2

PERSATUAN Alumni GPMS UiTM (PAGU) tidak menolak kemungkinan aplikasi pelacuran yang melibatkan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) adalah untuk mempromosikan perniagaannya.

Presidennya, Mohd Sabaruddin Daud berkata, pihaknya mengikuti dengan rapat beberapa siri berita berkaitan promosi aktiviti pelacuran.

“PAGU melihat pendedahan berkenaan perincian pelanggan aplikasi dan dakwaan bahawa terdapat 14,000 pelajar universiti terlibat adalah strategi licik pemilik portal miskin moral berkenaan untuk mendapatkan lebih perhatian, sekali gus mempromosikan perniagaan terutama kepada lelaki hidung belang.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan terdapat cubaan untuk memburukkan imej IPT termasuk dua universiti awam (UA) menerusi manipulasi data dalam pendedahan berkenaan. Maka seharusnya pihak berkuasa melakukan penyiasatan terperinci berkenaan hal ini,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau menggesa Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) serta agensi seliaannya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memberhentikan isu yang membarah itu melalui tindakan pantas dan berkesan dengan mengharam serta menyekat langsung portal berkenaan.

“Tindakan ini langkah pertama untuk membendung aktiviti tidak bermoral di kalangan rakyat Malaysia sebelum langkah seterusnya diambil seperti tindakan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, Kanun Keseksaan dan enakmen undang-undang syariah di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

“Kita berpendapat portal ini perlu diberhentikan daripada terus mempromosikan aktiviti yang jelas bertentangan dengan panduan hukum Islam serta norma kesopanan dan kesusilaan rakyat Malaysia dengan kadar segera memandangkan ianya telah terlalu lama dibiarkan beroperasi dan mendapat liputan media di Malaysia,” katanya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here