Zahid jawab persoalan status terkini MN

0
1

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjawab persoalan yang bermain difikiran ramai berhubung status terkini Muafakat Nasional (MN) yang dipelopori parti itu dan PAS.

Beliau berkata, kedudukan MN yang dimeterai kedua parti itu pada 2019 masih baik walaupun terdapat pelbagai interpretasi di luar.

“Ramai tertanya-tanya disebabkan PAS secara rasmi telah menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diasaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Umno sebaliknya. Umno sekadar menyokong pembentukan kerajaan PN demi kestabilan pentadbiran negara selepas Perdana Menteri ke-7 letak jawatan.

“Apa yang boleh saya katakan, hubungan kedua-dua parti masih baik walaupun terdapat pelbagai interpretasi di luar.

“Hubungan masih berjalan walaupun mungkin ada pihak tidak berapa senang dan berterusan mencari jalan untuk merenggangkannya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga turut berkongsi ‘kisah’ di sebalik kerjasama kedua parti itu yang wujud sejak 1998 lagi.

“Selepas saya mendapat ‘ijazah’ Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA), saya bertemu pemimpin PAS, Allahyarham Datuk Dr Haron Din ketika itu. Saya masih ingat kata-kata Allahyarham kepada saya.

“Beliau menyatakan betapa hasratnya melihat Umno dan PAS dapat berkongsi fikrah antara satu sama lain meskipun walau tidak bergabung sebagai sebuah parti suatu hari nanti.

“Saya secara peribadi menganggap hasrat itu sebagai wasiat Allahyarham Tuan Guru kepada saya apabila beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 2016,” katanya.

Beliau melahirkan kesyukuran kerana wasiat itu dapat ditunaikan melalui pemeteraian Piagam Muafakat Nasional di Dewan Merdeka, dewan utama Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September 2019.

“Saya berfikir kerjasama ini perlu diteruskan Umno dan PAS kerana ia terbukti memberi impak positif dan Insya-Allah hubungan fikrah ini akan terus rapat dan dekat.

“Sebab itu juga baru-baru ini saya menyatakan BN akan terus diperkasakan dan dalam masa yang sama mengukuhkan kerjasama dengan pihak yang jujur dan ikhlas untuk bekerjasama,” katanya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here