Ahli Parlimen perlu terima vaksin awal – PFM

0
2

PERSATUAN Farmasi Malaysia (PFM) menyarankan kerajaan untuk menyenaraikan Ahli Parlimen antara golongan pertama yang akan menerima vaksin Covid-19 dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Presidennya, Amrahi Buang berkata, kumpulan profesional itu perlu menjadi penerima awal kerana mereka sentiasa berjumpa dengan orang awam serta penduduk kawasan yang diwakilinya.

“Ahli Parlimen selalu berjumpa dengan rakyat di kawasan masing-masing dan mereka menjadi golongan yang berisiko untuk dijangkiti dan menyebarkan Covid-19.

“Oleh demikian, kerajaan perlu mempertimbangkan perkara ini supaya mereka boleh menjalankan tugas tanpa rasa takut serta gentar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Amrahi berkata, Ahli Parlimen boleh menjadi contoh kepada rakyat Malaysia sekiranya mereka bersedia menjadi kumpulan pertama penerima vaksin terbabit.

Katanya, kesediaan ahli parlimen berbuat demikian akan memberi keyakinan kepada segelintir rakyat mengenai keberkesanan vaksin apabila program terbabit bermula.

“Dengan kepemimpinan melalui teladan ini, rakyat akan menyertai Program Imunisasi Vaksin Covid-19 Kebangsaan dengan yakin tanpa rasa was-was.

“Sasaran kerajaan untuk sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk di Malaysia imun terhadap virus berkenaan pada tahun hadapan dapat direalisasikan,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/14/hukum-ambil-vaksin-covid-19-harus-mufti-wp/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here