Gangguan seksual: Polis KL rekod keterangan anggota, mangsa

0
2
malay mail

POLIS Kuala Lumpur mengesahkan sudah merekodkan keterangan wanita yang mendakwa diganggu secara seksual oleh anggota polis ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Duta, kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, keterangan wanita berusia 23 tahun itu diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, semalam.

“Siasatan terperinci berhubung kejadian itu sedang dijalankan untuk tindakan lanjut. Pada masa sama, kami juga mengambil keterangan beberapa anggota yang bertugas di SJR berkenaan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Semalam tular di media sosial kes wanita yang hanya dikenali sebagai Sabiyusof, memaklumkan ditahan selepas tidak membawa lesen memandu ketika melalui SJR di Jalan Duta ketika dalam perjalanan pulang ke Shah Alam selepas mengambil barang di Wangsa Maju.

Dia juga turut diminta mengemukakan surat kebenaran untuk pergerakan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun menunjukkan kebenaran itu dalam sistem menerusi dalam talian dalam telefon bimbit miliknya.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan, seorang daripada dua anggota polis yang memeriksanya bertanya soalan sama ada dia memakai pakaian dalam atau tidak, selain turut menawarkan pelepasan sekiranya dia membuktikan perkara itu.

Wanita itu kemudian enggan menuruti permintaan itu dan meminta anggota polis terbabit mengeluarkan saman. – Malaysiapost

Foto Kredit: Malay Mail

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/13/lagi-dakwaan-gangguan-polis-semasa-sekatan-jalan-raya-pkp/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here