PENGARAH sebuah agensi kerajaan di Selangor yang ditahan semalam selepas didakwa mencabul seorang kakitangan wanita sudah dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata lelaki berusia 35 itu diberi jaminan polis selepas selesai siasatan terhadapnya.
“Suspek sebelum itu dipanggil bagi membantu siasatan kes berkenaan dan kemudian ditahan.
“Dia diberi jamin sebaik selesai tindakan siasatan oleh pegawai penyiasat,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Menurutnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.
Media semalam melaporkan suspek yang dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kejadian ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, jam 9 pagi.
Kejadian dipercayai berlaku Selasa lalu ketika mangsa berusia 29 tahun berada di pejabat selepas selesai urusan kerja.
Suspek dipercayai meminta mangsa membuka tudung dan memicit tangannya serta badannya sebelum mengarahkan wanita berkenaan menanggalkan pakaian.
Bagaimanapun, mangsa enggan dan menolak secara baik, namun ditampar oleh suspek di muka hingga terjatuh selain meminta mangsa melakukan seks oral.
Mangsa yang ketakutan tampil membuat laporan berhubung kejadian di Balai Polis Pandamaran untuk tindakan lanjut. -Malaysiapost

