GEJALA mahasiswa terjebak dalam kancah ‘sugar daddy’ tidak boleh dipandang ringan dan ia mesti ditangani supaya dapat menyelamatkan mereka daripada terus hanyut melakukan aktiviti tidak bermoral itu.
Perkara itu disuarakan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menggesa kerajaan untuk mengambil langkah pro aktif dan mencari jalan bagi membendung gejala ‘sugar daddy’ yang boleh merosakkan masa hadapan mahasiswa itu.
“Oleh itu, saya berharap Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) cakna perkara ini dan saya sendiri akan berkomunikasi dengan Datuk Dr Noraini Ahmad.
“Saya juga berharap pihak berkuasa agama dapat menyiasat dan menyelamatkan bagi pelajar yang beragama Islam.
“Jika benar disebabkan desakan wang, JAKIM, Jabatan Agama Islam negeri, pusat zakat dan baitulmal mungkin boleh menyalurkan bantuan kewangan. Bantu mahasiswa dan jangan biarkan mereka hanyut,” katanya di Facebook, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, kemungkinan pelbagai faktor yang berlaku ketika ini telah menyebabkan mereka terjerumus ke dalam kancah tidak bermoral ini.
“Saya tidak berhasrat mencari salah sesiapa dalam soal ini kerana yang paling utama menyelamatkan generasi masa depan negara ini.
“Namun laporan media menyebut peningkatan lebih 40 peratus pendaftaran mahasiswa mencari ‘sugar daddy’ berlaku selepas PKP 1.0, PKPB, PKPP dan PKP 2.O.
“Malaysia malah dikatakan berada pada kedudukan tertinggi Asia bagi mahasiswa mendapatkan ‘sugar daddy’.
Mungkin disebabkan desakan hidup dan ekonomi ekoran pandemik Covid-19 punca utama mahasiswa terbabit bertindak sedemikian,” katanya.
Lebih membimbangkan, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pelajar beragama Islam juga tidak terlepas daripada terjebak dalam kancah ‘sugar daddy’ itu.
“Saya terbaca laporan media seramai 12,705 mahasiswa menggunakan aplikasi media sosial untuk mencari ‘sugar daddy’.
“Ia melibatkan penuntut IPTA dan IPTS di sekitar Lembah Klang. Fenomena ini bagi saya sangat membimbangkan.
“Ia bukan saja memperlihatkan keruntuhan moral, malah bertentangan dengan hukum syarak bagi mereka yang beragama Islam,” katanya.
Gejala sugar daddy atau menjadi perempuan simpanan hangat diperkatakan ketika ini susulan laporan mengatakan Malaysia menjadi negara Asia ketiga tertinggi terlibat dengan aktiviti tidak bermoral ini hasil data daripada aplikasi ‘Sugarbook’. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:

