PENAGIHAN vaksin Covid-19 perlu dilaksanakan menerusi pendaftaran bagi memastikan proses yang tersusun dan mengelak pembaziran dos vaksin, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata pemberian vaksin tanpa pendaftaran terlebih dahulu akan menyebabkan orang ramai menyerbu pusat pengagihan vaksin dan terpaksa beratur panjang.
Katanya proses pendaftaran juga boleh memastikan kerajaan mengatur logistik dan pengagihan vaksin secara teratur, sekali gus mengelakkan pembaziran.
“Perlu daftar untuk masuk sistem pengurusan janji temu. Kebanyakan negara melaksanakan vaksinasi berdasarkan janji temu.
“Meminta orang ramai datang (ke pusat imunisasi Covid-19 tanpa janji temu) akan menyebabkan mereka beratur panjang dan pembaziran.
“Sistem pengurusan janji temu juga akan membantu dari segi logistik vaksin, jumlah yang perlu dihantar dan ke mana ia dihantar,” katanya seperti dilapor BH.
Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 kebangsaan berkata, individu yang mendaftar sebagai penerima vaksin akan diberi tarikh, masa dan lokasi pusat vaksinasi berhampiran, tertakluk pada tempat tinggal mereka.
Mengenai kebimbangan individu luar bandar tanpa akses internet atau gajet untuk membuat pendaftaran sebagai penerima vaksin melalui MySejahtera, Khairy berkata, terdapat pelbagai cara untuk mendapatkan janji temu.
“Kalau orang kampung, Klinik Kesihatan yang berhampiran akan berhubung dengan mereka dan bantu daftar,” katanya, memaklumkan rakyat tempatan dan warga asing yang layak boleh mendaftar melalui kaedah sama.
Mengenai tarikh janji temu bagi dos kedua vaksin Covid-19, Khairy memaklumkan, individu yang sudah menerima dos pertama akan diberi kad janji temu yang tertera tarikh seterusnya.
“Ia juga akan direkodkan dalam MySejahtera. Tarikh janji temu dos kedua akan ditulis. Bagi vaksin Pfizer, ia selepas 21 hari (dari tarikh dos pertama). Vaksin lain mungkin berbeza. Anda juga akan mendapat peringatan,” katanya.
Ditanya mengapa kerajaan lewat membuat pendaftaran penerima Covid-19, Khairy berkata, kebanyakan negara melakukan pengagihan secara berfasa.
“Malah di UK (United Kingdom), mereka masih hanya menerima janji temu daripada kumpulan yang diberi keutamaan,” katanya.
Menjawab soalan mengapa penerima vaksin Covid-19 tidak dikenal pasti lebih awal kerana kelewatan pendaftaran mungkin menyusahkan warga emas, Khairy menegaskan, kerajaan akan memastikan tempoh masa mencukupi untuk orang ramai menyertai program itu.
“Fasa kedua program imunisasi, iaitu untuk warga emas bermula April hingga Ogos. Pendaftaran bermula pada Mac. Kami akan pastikan kamu ada masa yang cukup merancang untuk membawa ibu bapa ke pusat vaksinasi terdekat,” katanya.-Malaysiapost

