SEEKOR buaya tembaga betina seberat 200 kilogram (kg) ditemui sedang mengeram 45 telur di dalam parit di Kampung Labohan Dagang, Banting, hari ini.
Kejadian sekitar jam 12 tengah hari itu disedari beberapa orang awam yang terkejut melihat reptilia sepanjang tiga meter berkenaan berada di sebuah kawasan parit.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Langat, Kapten (PA) Riduan Nordin berkata, enam anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 12.15 tengah hari.
Katanya, berdasarkan maklumat buaya itu dipercayai dari Sungai Labohan yang berada kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.
“Kita percaya reptilia itu bertindak menyusuri parit berkenaan untuk mengeram telurnya.
“Operasi menangkap buaya itu memakan masa selama 30 minit berikutan bertindak agresif menjaga telurnya,” katanya seperti dilapor Kosmo.
Katanya, pihaknya mengambil langkah berjaga dengan menggunakan tali khas bagi menjerut mulut dam ekor reptlia itu.
“Buaya dan telur itu kemudian dibawa menggunakan lori ke Pejabat APM Daerag Kuala Langat.
“Reptilia itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) esok untuk tindakan lanjut,” katanya. – Malaysiapost

