SEBANYAK 3,499 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 261,805 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes harian hari ini hanya satu kes sahaja penularan import, manakala selebihnya kes tempatan.
“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,345 kes. Daripada jumlah ini, sebanyak 1,052 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Johor sebanyak 802 kes dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 511 kes.
“Sebanyak 70 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Tembok Bendera (46 kes), Tembok Sungai Udang (18 kes), dan Kluster Penjara Seberang Perai (6 kes),” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu katanya, sebanyak 3,515 kes sembuh dilaporkan hari ini, selain terdapat 51,558 kes masih aktif.
“Sebanyak 263 kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 118 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Dukacita dimaklumkan terdapat lima kematian hari ini dengan jumlah kematian akibat Covid-19 adalah 958,” katanya.-Malaysiapost

