MENTERI Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendakwa video lama yang didakwa memfitnah dirinya berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berniat jahat untuk merosakkan namanya.
Ismail Sabri berkata, dua video pendek yang tular di media sosial itu juga disifatkan cuba menimbulkan huru-hara antara kaum.
“Video pendek yang pertama adalah ketika saya membuat sidang media harian berkaitan Covid-19 pada 14 Februari 2020.
“Video tersebut ditularkan kononnya ia adalah sidang media terbaru dan ia seakan bertujuan mengelirukan rakyat kononnya tiada lagi saman dan kompuan akan dikenakan sekiranya melanggar SOP sebaliknya rakyat akan terus dipenjarakan.
“(Sedangkan) video tersebut adalah video lama dan kerajaan telah melakukan pelbagai penambahbaikkan dalam pelaksaan SOP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, video kedua yang tular dan diberi tajuk ‘sendiri buat SOP sendiri langgar’ itu sebenarnya adalah rakaman ketika beliau hadir majlis santai bersama penggiat seni sempena Kempen Tabung Hari Pahlawan pada 16 September 2020.
“Video tersebut dengan sengaja disebarkan kononnya majlis itu adalah sambutan Tahun Baru Cina.
“Ingin saya tegaskan bahawa majlis tersebut diadakan ketika dalam pelaksanaan PKPP.
“Dalam pelaksanaan PKPP, majlis perkahwinan juga dibenarkan temasuklah majlis-majlis lain. Maka, tiada pelanggaran SOP yang berlaku,” katanya.
Justeru, Ismail Sabri berkata, beliau sudah membuat laporan polis hari ini terhadap kedua-dua video berkenaan bagi menghentikan penularan fitnah terhadapnya.
“Implikasi daripada penyebaran video ini boleh menyebabkan timbulnya kemarahan rakyat sekali gus menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan rakyat kepada saya.
“Penyebaran video ini ternyata berniat jahat kerana dikatakan video terbaru sewaktu PKP,” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan
https://malaysiapost.com.my/2021/02/13/ismail-sabri-lapor-polis-video-fitnah-ingkar-pkp/

