PASANGAN selebriti popular, Shuib atau dan isterinya, Siti Sarah Raissuddin masing-masing dikenakan RM1,000 seorang selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah premis restoran, semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, berkata pasangan yang juga usahawan itu dikenakan kompaun kerana didapati duduk di sebuah meja melebihi dua orang serta tiada penjarakan fizikal di premis terbabit.
Beliau berkata, dua lagi pelanggan yang turut duduk semeja bersama pasangan itu turut dikenakan kompaun.
“Turut dikenakan tindakan ketika rondaan pasukan Task Force Op Covid-19 Balai Polis Kuala Lipis kira-kira jam 9 malam itu ialah pemilik restoran terbabit.
“Kompaun dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum itu, seorang individu memuat naik gambarnya bersama pasangan selebriti menjamu selera di dalam premis terbabit tersebut di Facebook miliknya.
Baru-baru ini, kerajaan menetapkan bermula 10 Februari hanya dua individu semeja ketika menjamu selera di kedai makan dan restoran. -Malaysiapost

