Ramai keliru keistimewaan dan amalan di bulan Rejab

0
2

RAMAI yang keliru mengenai keistimewaan dan amalan ibadat yang boleh dilakukan di bulan Rejab dalam kalendar Islam, malah terdapat pihak yang cuba menakutkan umat Islam dari melakukan amalan di bulan itu.
Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja), Dr Zamihan Mat Zin, berkata umat Islam masih mencari hakikat antara benar dan salah atau sahih dan palsu mengenai amalan di bulan Rejab.
“Zaman kita kekadang yang benar dianggap salah dan yang salah dianggap benar. Lebih-lebih lagi apabila penguasaan ilmu dan iman semakin tidak dipedulikan manusia.
“Sehinggakan ada pihak yang menggelarkan diri mereka sebagai sarjana cuba menakut-nakutkan umat Islam dari melakukan amalan di bulan Rejab.
“Alasannya, hadis yang berkaitan dengan kelebihan bulan Rejab adalah palsu,” katanya melalui hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, dakwaan itu hanya berdasarkan kepada pendapat satu riwayat hadis dan pandangan seorang ulamak tertentu sahaja, namun tidak mengambil kira pandangan keseluruhan para ulama Islam.
“Ada pula yang sengaja mendatangkan dalil-dalil yang berat sebelah bagi mengikis keistimewaan bulan Rejab. Bahkan melarang umat Islam melakukan amalan mendekatkan diri kepada Allah dengan tuduhan hadis berkenaan semuanya palsu, taksub pahala dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata, dalam memahami selok-belok keistimewaan Rejab kita perlu cermat membuat penilaian terhadap sumber-sumber yang berkaitan dengannya.
Tegasnya, al-Quran, al-Hadis, pandangan ulamak muktabar dan fatwa berkaitan perlu dipersembahkan secara jujur dan telus supaya ia boleh membantu dalam memahami kes berkaitan dan memberi justifikasi yang jelas dalam pelaksanaan sesuatu amalan.
“Paling tuntas, kita tidak mencemuh dan menuduh mereka yang ikhlas melakukan kebaikan dengan kadar kefahaman dan kemampuan masing-masing.
“Apabila meneliti kepelbagaian sumber yang ada di tangan para ulama, didapati bulan Rejab ada keistimewaannya yang tersendiri,” katanya.
Menurutnya, secara kesimpulan bulan Rejab mempunyai pengertian dan keistimewaan dalam kelasnya yang tersendiri.
Katanya, sumber-sumber hukum melalui al-Quran, al-Hadis dan keterangan para ulamak Salaf pula memberitahu bahawa terdapat hadis-hadis yang sahih, hasan, mursal, marfuk, dhaif, dhaif jiddan, wahin (amat lemah) dan palsu seputar Rejab.
“Oleh itu, setiap isu dan dalil harus difahami secara menyeluruh lagi mendalam agar kita tidak tersasar dari landasan yang benar.
“Dalil-dalil yang jelas, terang lagi bersuluh sepatutnya diamalkan. Manakala dalil-dalil yang lemah boleh dijadikan bahan sokongan dan penambahbaikan dalam sesuatu amalan. 
“Manakala dalil-dalil yang palsu seharusnya ditinggalkan. Bahkan perlu diperjelaskan kekurangan dan kesannya terhadap mutu periwayatan, penghujahan dan amalan,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here