PKPD di PPA Batu Gajah, 3 lokaliti di Terengganu

0
2

Nurul Huda Abhar

KERAJAAN bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Batu Gajah dan Kuarters Kakitangan bermula 14 sehingga 27 Februari 2021.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 81 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 29 kes positif Covid-19 telah direkodkan serta 45 baki saringan sedang menunggu keputusan.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan serta kontak rapat yang terlibat untuk memastikan tiada jangkitan dalam komuniti.

“Prosedur operasi standar (SOP) PKPD di pusat tahanan ini juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, KKM hari ini juga telah melaporkan situasi Covid-19 di Kampung Darau-Awek, Kampung Padang Baloh dan Kampung Lepan Kejor, Mukim Pasir Akar, Besut, Terengganu.

Katanya, sehingga kini, KKM telah melaksanakan 570 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 21 kes positif Covid-19 telah direkodkan meliputi ketiga-tiga lokaliti ini.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Kampung Darau-Awek, Kampung Padang Baloh dan Kampung Lepan Kejor, Mukim Pasir Akar, Besut, Terengganu bermula 14 sehingga 27 Februari 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini mengawal pergerakan penduduk, mengurangkan jangkitan dalam komuniti serta memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas kira-kira 2,152 penduduk di ketiga-tiga lokaliti ini,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Penjara Simpang Renggam dan Kuarters Kakitangan pada 14 Februari 2021 seperti yang dijadualkan.

Menurut beliau, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Penjara Simpang Renggam dan Kuarters Kakitangan, Kluang, Johor yang dijadualkan tamat pada 14 Februari 2021.

“Sehingga kini, KKM telah selesai melaksanakan 476 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 294 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

“KKM turut melaporkan kes positif Covid-19 di penjara ini telah menunjukkan trend penurunan dan terkawal serta kes terakhir yang direkodkan ialah pada 11 Februari 2021 iaitu sebanyak 2 kes,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan : https://malaysiapost.com.my/2021/02/10/pkpd-di-kampung-teluk-setiawan-mulai-esok/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here