KEMENTERIAN Sumber Manusia memaklumkan tindakan pekerja syarikat kurier, J&T Express (J&T) yang mogok dan membaling barang baru-baru ini, berpunca daripada peningkatan beban kerja dan pemberian bonus.
Kementerian itu memaklumkan selepas video kejadian itu tular di media sosial pada 4 Februari lalu, pihaknya menjalankan siasatan ke atas beberapa premis syarikat kurier di Perak, Melaka, Johor dan Selangor.
Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di sebuah premis perniagaan di Perak berpunca daripada bebanan kerja dialami pekerja di bahagian gudang berikutan peningkatan mendadak bungkusan.
“Siasatan turut mendapati ada pekerja terutamanya di bahagian penghantaran (despatch) tidak berpuas hati dengan pemberian bonus.
“Pemberian bonus kepada pekerja dibuat berdasarkan prestasi dan perubahan struktur bayaran komisen secara unilateral dan akan menyebabkan pendapatan pekerja berkurang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, pihak majikan memaklumkan isu itu sudah selesai dan ia berlaku disebabkan salah faham.
Katanya, J&T juga mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kepada pelanggan serta menjelaskan mengenai sistem pemberian bonus kepada kakitangan yang menjadi punca ketidakpuasan hati kakitangan mereka.
“Mengenai isu ini, kita minta supaya majikan sentiasa mengadakan perbincangan dengan pekerja terlebih dahulu sebelum membuat sebarang perubahan yang membabitkan kepentingan pekerja.
“Ini bagi memastikan keharmonian perusahaan yang dinikmati pada hari ini serta kebajikan pekerja akan terus berkekalan dan terpelihara,” katanya.
Terdahulu, J&T dalam permohonan maafnya baru-baru ini menjelaskan insiden berlaku disebabkan kakitangan kurang jelas mengenai sistem pengagihan bonus sehingga menjadi punca mereka mogok.
Sebelum ini, tular di media sosial video pekerja syarikat kurier membaling bungkusan pelanggan selepas dipercayai mogok susulan majikan mengurangkan komisen kerja.
Rakaman video berdurasi 15 saat di sebuah hub kurier syarikat itu turut menunjukkan lambakan timbunan bungkusan yang difahamkan mengalami kelewatan penghantaran.
Video itu mendapat pelbagai reaksi netizen dan pelanggan yang kesal dengan tindakan pekerja terbabit kerana dikhuatiri merosakkan barangan dalam bungkusan.
Selepas insiden mendapat perhatian pihak berwajib, tujuh pekerja syarikat kurier, J&T Perak membuat permohonan maaf menerusi video dimuat naik melalui Facebook J&T Express Malaysia-Perak. -Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/07/pekerja-jt-campak-barang-tampil-mohon-maaf/amp

