‘Peningkatan jumlah kluster membimbangkan’ – Najib Razak

0
1
Pix via Malaysiapost

AHLI Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak mahu kerajaan memandang serius peningkatan jumlah ‘kluster’ yang semakin membimbangkan.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, keadaan wabak Covid-19 semalam sebenarnya adalah lebih kritikal berbanding pada hari PKP 2.0 diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Januari lalu.

“Pada saya, angka yang semua perlu perhatikan setiap hari ialah jumlah kluster Covid-19 baru yang dikenalpasti.

“Dulu kita bimbang seluruh negara dengan wujudnya satu kluster perhimpunan Tabligh sahaja.

“Tapi kini kita ‘rileks’ sahaja walaupun 17 kluster baru dikesan semalam sahaja berbanding 8 sebulan dahulu,” katanya menerusi Facebook.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, jumlah kluster yang masih aktif setakat semalam ialah 477 dan jumlah itu jauh lebih banyak berbanding 254 kluster aktif sebulan yang lalu.

“Sehubungan itu, logiknya begini, sebulan dahulu, kita perlu laksanakan PKP 2.0 sebab keadaan Covid-19 sudah kritikal.

“Sebulan kemudian, kita perlu longgarkan hampir semua sekatan PKP 2.0 sebab keadaan Covid-19 menjadi lebih kritikal.

“Tapi saya percaya kerajaan tiada pilihan lain sebab rakyat semakin marah dan tertekan,” katanya.

Beliau turut menyifatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dilaksanakan hanya sia-sia.

“Jangan salah faham bahawa saya tak sokong perniagaan dibuka semula sebab saya faham ramai dah tak mampu bertahan lagi selepas kita melalui sebulan dalam PKP tanpa pendapatan serta bantuan kerajaan yang mencukupi,” katanya.

Najib berkata, kebanyakan simpanan rakyat juga sudah habis diguna tahun lalu serta rakyat tidak dapat bertahan lagi setelah dikurung hampir sebulan.

“Saya faham kesempitan, kesusahan dan kemarahan ini. Cuma saya rasa ianya amat sayang sekali bahawa PKP yang amat ketat tidak dilaksanakan untuk 14 hari pertama PKP 2.0

“Sebaliknya, sektor-sektor yang menyumbang bahagian terbesar gelombang ketiga juga adalah sektor-sektor yang dibenarkan terus beroperasi pada hari pertama PKP 2.0.

“Saya juga kesal tindakan tegas tidak diambil lebih awal lagi – iaitu pada awal bulan Oktober semasa saya sarankan sekatan rentas negeri diambil,” katanya.

Najib berkara, kerajaan meminta rakyat bertenang kononnya keadaan Covid-19 masih terkawal pada masa itu.

“Akibatnya kerajaan terpaksa longgarkan hampir semua aktiviti dalam perlaksanaan PKP 2.0 ini biarpun kes baru Covid-19 masih tinggi sebab ramai tidak boleh bertahan lagi.

“Bagaimanapun, langkah yang terpaksa diambil ini juga bermaksud bahawa harapan untuk sektor pelancongan untuk memulih dalam masa terdekat adalah sangat tipis sebab pelancong domestik dan pelancong asing akan kurang berminat pada keadaan penularan Covid masih tinggi.

“Saya harap Rakyat akan faham bahawa keadaan Covid-19 tetap kritikal di luar sana dan tidak menerima mesej yang salah walaupun sudah ada kenyataan-kenyataan dari kerajaan yang mengaku keadaan Covid-19 sudah mula terkawal. Namun, angka dan data tidak menipu,” tegasnya.

Jelas Najib, mengambil kira jumlah penduduk negara, Malaysia masih merupakan negara yang paling kritikal dalam ASEAN ketika ini dari segi kes baru harian, kes yang masih aktif dan jumlah kumulatif kes Covid-19.

“Sebab itu, kita tidak boleh leka dan perlu sentiasa berjaga-jaga serta mematuhi segala SOP sebab Covid-19 masih menular dengan laju dalam komuniti,” ujarnya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here