SEORANG lelaki menunggang motosikal yang dicurinya secara melawan arus sebelum meninggalkan kenderaan terbabit di Kilometer (KM) 8.4 Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE), arah barat, semalam.
Menerusi video tular berdurasi satu minit yang dirakam pengguna jalan raya lain memaparkan tindakan ‘gila’ lelaki itu yang menunggang dengan tidak menggunakan laluan khas motosikal.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, polis menerima laporan berhubung video tular berkenaan memaparkan aksi seorang lelaki menunggang motosikal secara melawan arus dari arah Permatang Pauh ke Seberang Jaya.
“Video itu dirakam seorang pengguna jalan raya dari arah jalan bersebelahan pada 6.10 petang semalam sebelum ia tular,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis kemudian dimaklumkan polis peronda lebuh raya menemui sebuah motosikal yang ditinggalkan di KM8.4 Lebuhraya BKE.
“Semakan lanjut pada nombor pendaftaran kenderaan itu mendapati ia bersangkut dengan satu laporan kehilangan motosikal di kawasan Perai yang dilaporkan semalam.
“Setakat ini, polis masih belum menerima sebarang aduan yang dibuat oleh perakam atau mana-mana individu yang mempunyai butiran maklumat penunggang motosikal berkenaan,” katanya.
Shafee berkata, usaha mengesan penunggang motosikal dan perakam video sedang dijalankan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. -Malaysiapost

