PERBALAHAN antara dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Najib Razak dilihat semakin hangat apabila kedua-duanya saling berbalas ‘serangan’ di media sosial.
Terbaharu, Dr Mahathir yang juga pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Ahli Parlimen Langkawi sekali lagi membuat kenyataan agar Najib memberikan tumpuan kepada kes mahkamah yang dihadapinya dan tidak masuk campur isu lain.
Bagaimanapun kali ini, beliau turut membangkitkan beberapa isu lain membabitkan Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan itu.
“Najib nafi buat kenyataan anti masyarakat Cina pada 1987. Baguslah. Saya terimalah penafiannya. Saya juga sudah banyak kali nafi tuduhan saya mencampuri badan kehakiman.
“Dia nak kata saya rasis. Yang saya ingat, selepas PRU-13 bila Najib hilang popular vote kepada pembangkang, keluar tajuk utama “Apa Lagi Cina Mahu” yang dikait dengannya,” katanya yang dikongsi di Facebook hari ini.
Beliau turut mempersoalkan dakwaan Najib yang mengatakan pihaknya beruntung dengan pengharaman Umno pada 1988.
“Apa pernah parti kerajaan diharamkan hanya kerana kesilapan oleh dua tiga cawangan dari beribu cawangan. Saya terpaksa berhempas pulas untuk hidupkan Umno semula.
“Itu pun tidak semua kembali. Kenapa Najib pilih Umno Baru. Ke mana Najib jika pilih Semangat 46. Yang untung ialah Najib, saya hanya dapat balik tempat. Najib dapat jadi PM dan untung besar,” katanya.
Berhubung sindiran mengenai beliau ingin menjadi ‘cybertrooper’ paling tua, Dr Mahathir menyindir kembali dengan mengatakan beliau terpaksa menjadi cybertrooper untuk diri sendiri kerana tiada pasukan seperti Najib.
“Najib kata saya nak jadi RBA paling tua. Saya tidak ada pasukan cybertrooper yang besar seperti Najib, saya tak ada berbilion seperti Najib, terpaksalah saya jadi saya punya cybertrooper.
“Dulu pun ada laporan bagaimana hampir 70 peratus penyokong Twitternya palsu.
“Yang terbaru, isteri Najib, Rosmah dalam keterangan mahkamah juga dikatakan belanja hingga RM100,000 sebulan untuk menggaji cybertrooper,” katanya.
Dr Mahathir berkata, beliau sudah memberi nasihat sebelum ini supaya Najib tidak sibuk perkara lain dan tumpukan pada kes-kes mahkamah yang banyak serta masih berjalan.
“Selain itu, Najib perlu juga sediakan fakta-fakta cukup untuk nak saman Tommy Thomas yang kaitkan Najib dengan pembunuhan Altantuya.
“Pendapat saya, Najib juga harus saman Tommy Thomas pasal burukkan bapanya Tun Razak, pemimpin Melayu yang kita hormati. Kalau yang ini, saya akan sokong dia,” katanya. – Malaysiapost

