KERAJAAN mengumumkan kebenaran bagi beberapa sektor lagi untuk kembali beroperasi bermula esok namun dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Sektor yang dibenarkan adalah aktiviti memancing untuk perikanan rekreasi, institut memandu dan pusat latihan penerbangan.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan sebelum ini membenarkan aktiviti memancing bagi tujuan sara hidup di bawah sektor perikatan dan turut menerima banyak rayuan membabitkan pengusaha kolam pancing, rumah bot dan bot memancing yang hilang mata pencarian.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal, kerajaan setuju untuk membenarkan operasi kolam pancing, rumah bot, pelantar pancing atau kelong, rumah rakit dan bot memancing berdasarkan SOP ketat.
“Antara SOP ditetapkan adalah kolam pancing yang ingin beroperasi perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Perikanan, begitu juga dengan rumah rakit dan pelantar memancing atau kelong,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Menurutnya, semua premis hendaklah memastikan penjarakan sosial sekurang-kurangnya dua meter antara setiap pemancing dan tempat duduk pemancing perlu ditanda dengan jelas.
Katanya, masa operasi adalah bermula 8 pagi hingga 10 malam dan sebarang pertandingan memancing tidak dibenarkan.
“Manakala bagi SOP rumah bot, pelantar ikan atau kelong perlu berdaftar dengan PBT dan Jabatan Perikanan.
“Bilangan maksimum penumpang dalam satu-satu bot mestilah tidak melebihi 50 peratus daripada kapasiti bot.
“Bot memancing pula, pemilik perlu mempunyai lesen Jabatan Laut dalam tempoh yang sah dan Jabatan Perikanan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan juga mendengar pembentangan daripada Kementerian Pengangkutan berhubung operasi Institut memandu dan pusat latihan penerbangan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama agensi yang terlibat, kerajaan bersetuju membenarkan institut memandu dan pusat latihan penerbangan beroperasi dengan SOP ketat
“Bagi institut memandu arahan merangkumi perkhidmatan latihan pemanduan, kurikulum pendidikan pemandu (KPP), perkhidmatan pra ujian pemanduan, perkhidmatan ujian teori dan praktikal di litar dan jalan raya.
“Waktu operasi dibenarkan bermula 7.30 pagi hingga 8.30 malam,” katanya. – Malaysiapost

