KERAJAAN dijangka memberi beberapa lagi kelonggaran untuk membenarkan lebih banyak sektor perniagaan dan majlis sosial kembali dibuka dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ketika ini.
Difahamkan, antara yang kini dalam pertimbangan untuk dibuka ialah operasi pusat tuisyen dan sekolah memandu.
Sumber memberitahu Malaysiapost, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang mempertimbangkan untuk membenarkan kedua-dua perkhidmatan tersebut dibuka dalam masa terdekat.
“Kerajaan secara dasarnya bersetuju untuk memberi kelonggaran dengan membenarkan sekolah memandu dibuka semula.
“Bagi pusat tuisyen pula, rundingan sedang dijalankan dengan Kementerian Pendidikan (KPM) namun kebenaran untuk ia beroperasi dijangka akan diluluskan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.
“Ia dijangka diumum dalam sehari dua ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sumber itu memaklumkan, kerajaan juga sedang mengkaji untuk membenarkan penganjuran majlis kahwin namun ia masih diperincikan terutama mengenai jumlah tetamu yang dibenarkan.
“Penelitian sedang dibuat, ada cadangan supaya majlis kahwin dibenarkan tetapi terhad kepada 15 hingga 20 tetamu, terdiri ahli keluarga terdekat. Jika diluluskan, ini juga dijangka diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran pelanggan untuk makan di dalam premis makanan atau restoran bermula semalam.
Peraturan itu terhad kepada dua pelanggan di sebuah meja dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.
Ismail Sabri turut mengumumkan kerajaan bersetuju membenarkan baki keseluruhan sektor perniagaan peruncitan kembali beroperasi mulai semalam bagi memastikan kelangsungan ekonomi khususnya kepada peniaga-peniaga kecil.
Antaranya kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kedai barangan fotografi, kedai barangan terpakai, kedai bunga dan nurseri.
Semalam, Malaysiapost melaporkan pengusaha pusat tuisyen harap Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan pembukaan semula perkhidmatan itu dengan segera sebelum sekolah dibuka semula, jika keadaan pandemik Covid-19 kembali terkawal.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Pusat Tuisyen Muslim Malaysia, Mohd Noor Shafizzal Termizi berkata tuisyen merupakan antara industri yang banyak menyumbang kepada ekonomi negara dan membantu meningkatkan prestasi pembelajaran pelajar.
Kelmarin, Pengerusi Persatuan Sekolah-Sekolah Memandu Bumiputera Kuala Lumpur dan Selangor, Harun Shafiee berkata PKP menyebabkan sekolah memandu mengalami kerugian jutaan ringgit susulan tidak dibenarkan beroperasi.
Beliau dilaporkan berkata, pihaknya mengalami kerugian RM4.2 juta sejak tahun lalu berikutan industri itu menghadapi kekangan dalam beroperasi. – Malaysiapost

