Harga siling RON95, diesel baharu lebih rendah

0
2

HARGA siling bagi petrol RON95 dan diesel ditetapkan pada kadar masing-masing RM2.05 dan RM2.15 seliter bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga minyak global.

Penetapan itu adalah lebih rendah daripada harga siling sebelum ini yang dibuat pada 2019.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata keputusan diambil berdasarkan trend harga pasaran sebenar produk petroleum yang semakin meningkat susulan peningkatan permintaan minyak mentah dunia.

“Penetapan had harga siling ini adalah lebih rendah berbanding had harga yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu pada tahun 2019 iaitu RM2.08 seliter bagi petrol RON95, dan RM2.18 seliter bagi diesel.

“Kerajaan akan menampung perbezaan harga pasaran sebenar dengan harga runcit yang ditetapkan secara mingguan melalui peruntukan subsidi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perkara itu turut dipengaruhi oleh pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi di seluruh dunia.

“Trend harga minyak global juga dipengaruhi oleh pelan vaksinasi COVID-19 yang mula dilancarkan secara beransur-ansur di seluruh dunia.

“Malaysia sendiri akan melancarkan Program Imunisasi Kebangsaannnya bermula hujung Februari 2021,” katanya.

Menurutnya, kerajaan tetap komited untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dan akan sentiasa memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia.

“Kerajaan juga akan mengambil langkah yang bersesuaian bagi mengimbangi tanggungan subsidi kerajaan dengan keperluan untuk terus memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Harga petrol dan diesel yang ditetapkan sepanjang minggu ini adalah pada kadar RM1.93 (RON95), RM2.23 (RON97) dan RM2.11 (diesel). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here