SPRM sedia siasat dakwaan Salahuddin Ayub

0
1

BEKAS Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub diminta untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaannya pernah ditawarkan percutian mewah di Eropah oleh syarikat pengimport daging.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata sewajarnya Ahli Parlimen Pulai itu tampil membuat aduan sekiranya benar pernah menerima tawaran sedemikian ketika menjadi menteri.

“SPRM bersedia menyiasat pendedahan itu. Kita minta beliau (Salahuddin) untuk membuat aduan kepada SPRM berhubung dakwaan itu,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Salahuddin mendedahkan mengenai tawaran tersebut diberikan ketika beliau mengadakan perjumpaan bersama wakil pengimport daging itu beberapa bulan selepas dilantik ke jawatan tersebut.

Beliau mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan perjumpaan yang sepatutnya menjadi sesi perkenalan antara menteri dan juga pemain industri itu apabila ditawarkan dengan pakej percutian yang digambarkan sebagai ‘kunjungan hormat’.

Namun demikian beliau tidak membuat sebarang laporan kepada SPRM kerana tidak jelas dengan maksud sebenar tawaran tersebut dan syarikat berkenaan juga tidak meminta apa-apa sebagai balasan.

Negara dikejutkan dengan isu kartel daging yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.

Susulan itu beberapa pihak termasuk pengurusan sebuah syarikat makanan sejuk beku didakwa di mahkamah atas dakwaan menawar dan menggunakan logo halal palsu serta tiada kelulusan membekalkan daging. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here