NASIB tiga beradik termasuk seorang Orang Kurang Upaya (OKU) sindrom down yang tinggal sehelai sepinggang akibat kediaman mereka di Pengkalan Chepa, Kelantan musnah terbakar semalam mendapat perhatian pelbagai pihak sejak berita mengenai kejadian itu tular di media sosial.

Pendakwah terkenal Ustaz Ebit Lew turut sama menghulur bantuan kepada mangsa hari ini, termasuk menanggung kos membina rumah baharu mereka.
Ebit yang dalam misi bantuan ke Kota Bahru, Kelantan hari ini mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu tiga beradik terbabit termasuk yang menyampaikan maklumat mengenai nasib mereka kepadanya.
“Alhamdulillah. Bantu rumah adik terbakar di Pengkalan Chepa. Dua beradik ni tadi menangis cakap terima kasih berulang kali, sedih pula rasa.
“Terus plan buatkan rumah baharu untuk adik ini dan bayarkan dengan kontraktor di sini untuk barang dan lain-lain.
“InsyaAllah telah bayar rumah ini sepenuhnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, dia turut menghadiahkan motosikal roda tiga yang baharu untuk kegunaan tiga beradik terbabit bagi mencari rezeki susulan motosikal lama turut musanh dalam kebakaran itu.
“Menangis abang ni dapat motor baru. Katanya ya Allah, sehari dapat semua sekali.
“Hebat abang ni jaga adik down sindrom dan buta. Setiap malam akan pergi rumah ini cari rumahnya. Tadi saya cakap nak buat rumah. Dia kata dekat saya tak nak tinggi takut jatuh. Saya kata rumah rendah je,” katanya.
Difahamkan dalam kebakaran semalam tiga beradik terbabit berada di rumah termasuk Mohamad Yazed Mohd Nor yang juga OKU, namun mereka sempat menyelamatkan diri tetapi kediaman mereka musnah keseluruhannya.
Ebit mengucakpan terima kasih kepada pemimpin tempatan yang sudah lebih awal membantu keluarga terbabit.
“Syukur pada Allah yang buat semua. Terima kasih pakcik makcik serta saudara adik ni yang banyak membantu dan menyambut saya tadi.
“Terima kasih ketua masyarakat setempat, ketua kampung, wakil rakyat dan menteri yang lebih awal sampai membantu.
“Terima kasih pihak zakat dan semua NGO tempatan. Terima kasih semua media yang hebahkan. Terima kasih semua yang tag saya. Semoga Allah terima pengorbanan semua. Allah sayang semua,” katanya. – Malaysiapost

