SEORANG lelaki dipercayai memukul isterinya hingga mati di sebuah pangsapuri di Pelangi Damansara, Petaling Jaya semalam.
Suspek berusia 29 tahun yang juga warga Indonesia itu, dikatakan bertindak sedemikian selepas wanita terbabit menemui video Tik Tok dia bersama wanita lain.
Mayat mangsa berusia 40 tahun itu ditemui pada jam 7.03 pagi di dalam bilik sewa pasangan terbabit dengan kesan lebam di bahagian tubuh mangsa.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata susulan daripada penemuan mayat mangsa sepasukan polis berjaya mengesan dan menahan suspek beberapa jam kemudian.
“Suspek ditahan pada jam 3.10 petang hari sama di sebuah tapak pembinaan di kawasan Stadium Kuala Lumpur.
“Polis turut menahan wanita warga asing berusia 45 tahun dipercayai wanita di dalam video Tik Tok berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai bergaduh dengan mangsa pada jam 10 malam Isnin lalu, selepas isterinya terjumpa satu video yang dirakam suspek bersama seorang wanita lain.
“Suspek dipercayai menumbuk dan menampar mangsa berkali-kali sehingga tidak sedarkan diri sebelum keluar dari kediaman mereka menuju ke Klang.
“Kedua-dua yang ditahan kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – Malaysiapost

