Adakah Tun M berhasrat jadi RBA paling tua dalam dunia? – Najib

0
2
Pix via Malaysiapost

GILIRAN Datuk Seri Najib Razak pula membalas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu tuduhan Ahli Parlimen Langkawi itu mencampuri urusan badan kehakiman.

Menerusi catatan terbaharu di Facebooknya, Najib berkata adakah Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu berhasrat jadi RBA (Red Bean Army atau jentera perang siber) paling tua dalam dunia?

Najib berkata, Dr Mahathir tidak berani menyangkal apa yang dikatakan beliau apabila Presiden Parti Pejuang itu berkata tak pernah campur tangan dalam sistem perundangan dan kehakiman Malaysia.

“Sebaliknya, Dr Mahathir ulang cerita dongeng yang pernah disebar oleh DAP sejak berdekad tahun lalu bahawa saya pernah hunus keris dan ugut mahu dan mandikan keris dengan darah orang Cina yang berlaku pada Ops Lalang tahun 1987.

“Tidak seperti kamu (Dr Mahathir), saya tak rasis pada mana-mana kaum. Cuma ramai yang rasa kamu rasis terhadap orang Melayu sahaja.

“Jika Mahathir tak ingat, cerita dongeng ini sudah dinafikan berkali-kali termasuk dalam sesi parlimen apabila mendiang Karpal Singh pernah tanya pada tahun 2009 jika ianya benar,” katanya.

Najib seterusnya berkata, selepas beliau menafikannya, Karpal Singh berpuas hati dan kata “case closed”.

Ahli Parlimen Pekan itu turut menyertakan pautan laporan media berhubung pertanyaan Karpal Singh tersebut.

“Andainya fitnah yang diulang Mahathir itu benar maka saya juga akan ditangkap polis di bawah ISA bersama ratusan orang masa itu. Tapi saya tidak ditangkap.

“Jika Mahathir (atau sesiapa) ada bukti kukuh saya pernah ugut kaum Cina begitu, sila kemukan. Jika tidak, kamu menjawablah di Sana,” kata Najib.

Beliau sebaliknya berkata, wujud berbuku-buku tebalnya bukti AllahyarhamTun Salleh Abas pernah dipecat sebagai Lord Presiden semasa Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, susulan pemilihan Umno pada 1987 di dalam peristiwa yang kini dikenali sebagai Krisis Perlembagaan Malaysia 1988.

“Atas sebab usia dan baki hormat amat kecil yang saya masih ada pada dia, saya tak saman.

“Tapi kalau Guan Eng dan Kit Siang berani ulang tuduhan yang sama Mahathir ini, hari ini dia fitnah esok dia terima surat saman.

“Sebab itu, keluarga Lim tak berani tuduh seperti kamu.

“Lalu Mahathir kata saya perlu jawab tuduhan Tommy Thomas (yang dia sendiri kata dia kesal melantik sebagai Peguam Negara) bahawa saya terlibat dalam kes Altantuya, saya harap Mahathir faham bahawa ini kes saya yang saman Tommy bukan sebaliknya,” katanya lagi.

Najib turut menyatakan buat kali pertama, media melaporkan bahawa pihak pendakwaan dalam kes lucut hak beliau, memberitahu mahkamah bahawa wang yang disebut RM2.6 bilion itu telah dipulangkan kepada penghantar selepas empat bulan diterima.

“Mahathir berani nak sangkal? Jika kamu jujur, kamu akan mengaku bersalah setelah kamu ulang ratusan kali bahawa saya sudah ambil dana RM2.6b tersebut.

“Tapi saya tahu kamu langsung tak jujur dan tidak akan sahkan perkara ini walaupun sudah disebut dalam mahkamah,” katanya.

Terdahulu dalam satu hantaran di Facebook, Dr Mahathir mengingatkan Najib supaya tidak masuk campur berhubung tuduhan beliau mencampuri badan kehakiman.

Sebaliknya, Dr Mahathir merasakan Najib perlu fokus terhadap kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya.

“Saya rasa Najib tak payah campur tangan dengan tuduhan terhadap saya.

“Dia harus fokus kes curi duit rakyat berbilion-bilion dalam 1MDB. Dia juga perlu bagi perhatian saman Tommy Thomas yang kait dia dengan pembunuhan Altantuya.

“Lagipun, kalau isu yang berlaku 1987/88, Najib boleh ingat yang dia hunus keris dan nak mandikan keris dengan darah orang Cina,” kata Dr Mahathir lagi.

Dr Mahathir membuat kenyataan itu susulan laporan berita yang memetik Najib mengetawakan beliau kerana mendakwa tidak mencampuri urusan badan kehakiman ketika menjadi Perdana Menteri.

Dalam laporan itu, Najib mendakwa pembatalan Umno pada 1988 yang dikatakan bukti Dr Mahathir tidak campuri badan kehakiman adalah pembohongan besar.

Kedua-dua bekas Perdana Menteri itu dilihat berbalah isu berkaitan pendedahan dan dakwaan yang dibuat bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas melalui buku memoirnya bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here