Pusat tuisyen harap KPM izin beroperasi sebaik Covid-19 terkawal

0
2

PENGUSAHA pusat tuisyen berharap Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan pembukaan semula perkhidmatan itu dengan segera sebelum pembukaan semula sekolah, jika keadaan pandemik Covid-19 kembali terkawal.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Pusat Tuisyen Muslim Malaysia, Mohd Noor Shafizzal Termizi berkata tuisyen merupakan antara industri yang banyak menyumbang kepada ekonomi negara dan membantu meningkatkan prestasi pembelajaran pelajar.

“Kami akur arahan KPM dengan tidak membuka kelas tuisyen secara bersemuka bagi membantu kerajaan memutuskan rantaian Covid-19 ini.

“Malah ada antara pengusaha mengambil inisiatif dengan menjalankan kelas secara maya.

“Berdasarkan tinjauan kami, sebahagian besar ibu-bapa menzahirkan kebimbangan terhadap pencapaian anak-anak mereka yang kian merosot, susulan penutupan sekolah dan institusi pendidikan seperti pusat tuisyen pada tempoh lama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Noor Shafizzal berkata, walaupun sesi persekolahan dibuka semula ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun ekoran peningkatan kes secara mendadak ia mendorong kerajaan melaksanakan semula PKP di seluruh negara kecuali Sarawak.

Ini katanya, menjejaskan beberapa pengusaha pusat tuisyen yang baru saja menarik nafas lega susulan kebenaran operasi semasa tempoh PKPP, selain terpaksa gulung tikar susulan pelaksanaan semula PKP pada awal tahun ini.

“Bagaimanapun, semua 60 pengusaha pusat tuisyen berdaftar di seluruh negara tetap menyambut baik arahan KPM untuk menghentikan operasi dalam kawasan PKP,” katanya. – Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here