Kerajaan PN perlu tangani isu harga, kekurangan laptop di pasaran

0
2

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) diselar kerana gagal mengawal kenaikan harga gajet terutama laptop yang naik melampau di pasaran ketika ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir berkata kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga gagal memastikan bekalan laptop mencukupi di pasaran ekoran permintaan pembeli yang sangat tinggi ketika ini.

Menurut Akmal, laptop dan gajet bagaikan ‘pisang panas’ dan menjadi keperluan penting kepada ibu bapa bagi memastikan anak-anak tidak ketinggalan ketika sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), susulan sesi persekolahan bersemuka tidak dibenarkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengekang Covid-19.

“Walaupun isu kenaikan harga gajet telah dilaporkan media sejak hujung tahun lalu, kerajaan PN yang mempunyai seramai 70 orang menteri dan timbalan menteri dilihat gagal bertindak bagi mengatasi masalah.

“Kekurangan stok bagi komputer riba berharga sederhana, mampu milik serta masalah logistik menjadi punca utama kenaikan harga terus berlaku,” catatnya di Facebook, hari ini.

Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru turut menyelar kerajaan kerana mengambil ringan dan tidak membuat persediaan rapi dalam menghadapi isu itu.

“Sebelum pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), kerajaan seharusnya sudah bersiap-siaga dengan segala kemungkinan yang bakal berlaku.

“Ini kerana sepanjang PKP, penggunaan komputer riba dan tab menjadi keperluan buat rakyat Malaysia.

“Pelaksanaan kaedah bekerja dari rumah serta pendidikan secara PdPR adalah faktor utama gajet wajib dimiliki oleh setiap keluarga,” luahnya.

Lebih memburukkan keadaan, Akmal berkata, ekoran tiada pemantauan dan tindakan tegas daripada kerajaan, terdapat pihak tidak bertanggungjawab menangguk di air keruh dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga laptop dan gajet.

“Malangnya, disebabkan keperluan yang mendesak, segelintir pihak mengambil kesempatan menaikkan harga gajet pada kadar yang tidak realistik.

“Berdasarkan portal Sinar Harian, tinjauan mendapati harga komputer riba dan gajet elektronik telah melambung sehingga lebih 70 peratus.

“Sebagai contoh jenama gajet yang sering menjadi pilihan pengguna untuk PdPR telah meningkat dari RM599 kepada RM759. Begitu juga komputer riba berharga sekitar RM1,300 telah meningkat kepada RM1,899 dan RM2,322 seunit,” catatnya.

Justeru, Akmal menggesa kerajaan memastikan bekalan laptop dan gajet sentiasa mencukupi di pasaran bagi membendung penjual menggunakan alasan itu untuk menaikkan harga.

“Langkah dilakukan kerajaan hanyalah sekadar mengeluarkan notis siasatan kenaikan harga kepada premis-premis jualan.

“Namun tidak menyelesaikan masalah kekurangan stok di pasaran. Adakah dengan mengeluarkan notis sahaja kerajaan mampu menyelesaikan masalah kekurangan gajet mampu milik buat rakyat?

“Harga gajet pasti akan naik dan terus naik sekiranya masalah permintaan melebihi penawaran tidak diatasi segera oleh pihak kerajaan.

“Namun, sehingga kini masalah kekurangan gajet gagal diatasi. Tidak ada sebarang kenyataan dikeluarkan menteri yang bertanggungjawab bagi menyelesaikan masalah utama rakyat. Justeru, perkara ini perlu diatasi dengan segera,” catatnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here