Baki sektor peruncitan beroperasi mulai esok

0
2

Nurul Huda Abhar

KERAJAAN bersetuju membenarkan baki keseluruhan sektor perniagaan peruncitan kembali beroperasi esok bagi memastikan kelangsungan ekonomi khususnya kepada peniaga-peniaga kecil.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, baki sektor peruncitan yang akan dibuka termasuk kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kedai barangan fotografi, kedai barangan terpakai, kedai bunga dan nurseri.

“Pelbagai lagi sektor peruncitan yang akan dibuka kembali ada dalam senarai laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Bagaimanapun, kita ada prosedur operasi standard yang ketat. Seperti proses nyah kuman dan pembersihan dilakukan tiga kali sehari dalam tempoh operasi.

“Selain itu, mewajibkan pekerja dan pelanggan memakai pelitup muka semasa berada dalam premis. Mereka yang suhu badan melebihi 37.5 tidak dibenarkan masuk,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pemilik premis juga perlu memastikan semua rekod pelanggan dicatat secara manual atau melalui aplikasi MySejahtera dan memastikan penjarakan fizikal semasa berada dalam premis.

“Ini antara SOP yang disediakan untuk premis yang akan dibuka,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/01/25/pkp-2-0-kerajaan-perlu-imbangi-aspek-kesihatan-rakyat-ekonomi-ismail-sabri/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here