BEKAS Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa diminta tidak bermain dengan sentimen ‘victim’ yang akhirnya membuka ruang salah faham yang kemudian mengelirukan parti.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, beliau terpanggil untuk menjawab kenyataan Ahli Parlimen Ketereh itu yang tidak akan mengalah dalam bekerjasama dengan parti Melayu walaupun dipecat.
Katanya, tidak wujud pun sebarang khabar atau ura-ura yang menjerumus untuk Umno memecat Annuar.
“Sebagai seorang ahli lama, beliau mempunyai akses kepada semua kepimpinan parti untuk menyatakan pendirian pandangan kritikal beliau. Lebih penting, tindakan mengkritik secara terbuka ini akan hanya memberi kesan kepada moral dan sokongan ahli parti dan masyarakat luar yang sedang memerhati Umno secara rapat.
“Umno sudah memutuskan untuk kembali dan menguatkan BN (Barisan Nasional). Pada masa yang sama, kekuatan politik orang Melayu turut diusahakan bersama-sama PAS dalam Muafakat Nasional. Dan segala kerjasama membentuk Kerajaan hanya akan dipertimbangkan setelah pilihan raya dan dibuat bersadarkan mandat dan pilihan rakyat.
“Ini keputusan parti dan keputusan bersama. Jadi, Umno akan bekerja keras untuk menjayakannya. Berjaya atau tidak Umno dalam ikhtiar ini sangat terletak kepada pilihan rakyat. Semua itu terpulang kepada keyakinan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Khaled berkata keputusan Umno untuk tidak bersama Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) adalah kerana kedua-duanya tidak pun diyakini oleh rakyat.
“Kemerosotan populariti PN dan keraguan terhadap kemampuannya mentadbir negara menjadikan kerjasama Umno dan PN tidak strategik. Apatah lagi tiadanya usaha radikal untuk menarik sokongan bukan Melayu. Jadi, apa motivasi dan alasan kukuh untuk terus mendesak Umno dengan sebegitu rupa.
“Sekalipun Umno sendiri sedang mengusahakan penyatuan politik Melayu, hakikatnya Umno sangat sedar bahawa sokongan bukan Melayu turut penting. Tidak ada pihak yang dapat menafikan perkara ini.
“Atas dasar ini, Umno yakin BN adalah satu wadah dan platform yang lebih sesuai, inklusif dan bersifat jalan tengah untuk semua. Bukannya PH atau PN,” katanya.
Beliau berkata seandainya parti itu sudah tidak elok dan gagal memahami aspirasi dan perjuangan peribadi, Annuar diminta jangan bermain tarik tali dan bertangguh-tangguh dengan Umno.
“Parti ini lebih besar dari perjuangan dan kepercayaan seorang individu. Umno adalah milik rakyat. Biarlah rakyat yang menentukan masa depan Umno,” katanya.
Sebelum ini, Annuar dilaporkan berkata beliau tidak akan sesekali berputus asa terhadap Umno walaupun dipecat dari parti itu kerana didakwa pro terhadap sesebuah parti Melayu.
Annuar berkata, beliau istiqamah dengan pendirian bahawa Umno hanya akan menjadi kuat sekiranya parti itu berupaya bermuafakat dan berkerjasama dengan semua parti Melayu yang lain.
“Saya tidak akan ‘give up’ walau saya dipecat kerana dikatakan pro sebuah parti melayu, saya istiqamah dengan pendirian bahawa parti saya hanya akan menjadi kuat sekiranya parti saya berupaya bermuafakat dan berkerjasama dengan semua parti Melayu yang lain.
“Dan seterusnya memupuk kesatuan dgn parti-parti dan bangsa lain dalam sebuah negara berbilang bangsa dan agama,” katanya dalam hantaran di Facebook. -Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/08/saya-tidak-akan-give-up-walau-dipecat-annuar/

