KERAJAAN didakwa membuat keputusan terburu-buru dan gagal memberi informasi telus kepada rakyat berhubung status halal vaksin Covid-19, keberkesanannya dan impak alahan kepada seseorang yang menerima vaksin tersebut.
Ketua Penerangan Parti Putra Malaysia, Ashraf Rosli berkata banyak persoalan rakyat tidak dijelaskan dan tiada bukti kukuh dari negara lain yang menunjukkan keberkesanan dan status halal vaksin tersebut.
“Baru-baru ini kerajaan telah membelanjakan berbillion ringgit untuk membeli vaksin dari syarikat Pfizer, namun mendapat kecaman daripada kebanyakan rakyat kerana signifikasi jumlah tersebut tidak dijelaskan.
“Ditambah lagi persoalan utama iaitu adakah vaksin tersebut benar-benar berkesan dan tiada mudarat tidak dijawab oleh menteri yang dipertanggungjawabkan berkenaan vaksin tersebut sehingga kini?
“Apakah yang cuba disembunyikan daripada pengetahuan rakyat sehingga tiada sedikit pun penerangan yang melegakan hati rakyat dikeluarkan menteri tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ashraf berkata, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang bertanggungjawab menguruskan hal berkaitan vaksin, hanya membuat sedikit ulasan tentang harga akan lebih murah jika dibotolkan di dalam negara.
“Apa sebenarnya yang cuba disampaikan oleh menteri tersebut? Jika tiada bukti keberkesanan dan impak alahan kepada vaksin tidak kiralah jenama mana, maka adakah kerajaan ingin menjadikan rakyat sebagai tikus makmal bagi syarikat pengeluar vaksin?
“Adakah kerajaan yang ada sekarang ini berkiblatkan kapitalis dan sanggup mengenepikan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata Putra amat maklum keadaan ekonomi negara sangat teruk dan membimbangkan, namun ia bukan alasan untuk ‘memperdagangkan’ nyawa rakyat.
Berikutan itu, beliau berkata, Putra mendesak kerajaan memberi penerangan khas dengan bukti-bukti kukuh yang menyatakan vaksin tersebut benar-benar halal dan selamat untuk digunakan.
“Jika tidak mendapat kepercayaan dari rakyat berkenaan vaksin ini, lebih baik tangguhkan dahulu implimentasi pemberian vaksin ini supaya boleh dikaji semula dari segi keberkesanan dan status halal, sehingga ia terbukti benar-benar selamat,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/01/29/vaksin-covid-19-mungkin-perlu-disuntik-setiap-tahun/

