
PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan kesediaan untuk menjadi individu terawal menerima suntikan vaksin Covid-19 bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menerusi hantaran di Facebook, Ahli Parlimen Marang itu berkata, ia sebagai tanda sokongan terhadap usaha kerajaan memerangi pandemik berkenaan.
“Saya telah mendapat taklimat berkaitan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, khususnya tentang kepentingannya terhadap usaha-usaha meningkatkan imuniti kelompok dalam masyarakat, supaya mempunyai daya tahan terhadap penyebab jangkitan penyakit tersebut.
“Justeru saya ingin menyatakan kesediaan untuk menjadi sebahagian daripada penerima terawal suntikan vaksin Covid-19 bersama-sama YAB Perdana Menteri, sebagai tanda sokongan terhadap usaha kerajaan memerangi pandemik ini,” katanya.
Sebelum ini pada 22 Disember lalu, Perdana Menteri berkata dia akan menjadi antara individu pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi meyakinkan rakyat bahawa vaksin yang diperoleh negara selamat dan berkesan.
Muhyiddin berkata ini akan diikuti oleh petugas barisan hadapan sebelum diberikan kepada kumpulan sasaran iaitu kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas serta penghidap penyakit tidak berjangkit dan penyakit saluran pernafasan kronik.
Beliau berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin yang telah ditubuhkan dan dipengerusikan bersama oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin akan memastikan bekalan vaksin dapat diperoleh pada kadar segera.
Dalam pada itu, Abdul Hadi menyeru semua pihak untuk bersama-sama memerangi wabak Covid-19 tanpa memikirkan soal perbezaan politik
“Pada masa sama, saya menyeru semua pihak untuk bersama-sama berganding bahu dan menggembeleng usaha untuk memerangi wabak Covid-19 tanpa mengira perbezaan fahaman politik.
“Fokus utama kita sekarang adalah memastikan keselamatan rakyat terjamin dan ekonomi negara kembali pulih,” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2020/12/22/pm-tawar-diri-jadi-individu-pertama-disuntik-vaksin-covid-19/
