Wawa Zainal kembali ubat rindu peminat

0
3

Nurul Huda Abhar

Selepas tiga tahun menyepi daripada dunia lakonan, pelakon dan jutawan kosmetik, Wawa Zainal bakal muncul dalam telemovie terbaharu berjudul Sabda Kekasih, dijangka ditayangkan Ogos ini.

Telemovie arahan Azhari Zain tersebut masih dalam penggambaran dan akan menggandingkan aktres berusia 29 tahun itu bersama suaminya yang juga pelakon, Aeril Zafrel

“Telemovie Sabda Kekasih ini arahan Azhari Zain masih dalam penggambaran, sekarang pun saya masih di set.

“Wawa berlakon bersama Aeril dan telemovie ini dijangka ditayangkan pada Ogos tapi saya tak berani nak beritahu tarikh tepat kerana masih dalam pembikinan,” kata pelakon kelahiran Lahad Datu, Sabah itu.

Meskipun mengakui lama tidak muncul di kaca televisyen, pengasas produk Wawa Cosmetics tersebut memberitahu aktiviti penggambaran dan urusan perniagaannya berjalan seperti biasa.

Bergelar jutawan dan mempunyai ejen di seluruh negara, pelakon filem Hantu Dalam Botol Kicap tersebut senang berurusan dengan staf dan kumpulan Wawa Cosmetics walaupun sibuk dengan pelancaran produk terbaharu.

Baru sahaja melancarkan produk wangi terbaharu, Wawa Sexy and Sweet pada 21 Jun lalu, pelakon berkulit cerah tersebut memberitahu Wawa Cosmetics bakal muncul lagi dengan dua projek terbaharu pada tahun ini dan sedang merangka kerja untuk tahun hadapan.