SEBANYAK 4,838.4 kilogram (kg) aiskrim dianggar bernilai RM33,346 dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Perlis.

Rampasan dilakukan di Unit Kargo Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, Jumaat lalu, selepas aiskrim berkenaan didapati dibawa masuk dengan dokumen sijil kesihatan dari negara pengeksport yang tidak tepat dan mengelirukan.

Pengarah Maqis negeri, Mohamad Arshad Raffin berkata aiskrim yang dibawa dari Thailand itu dirampas selepas pihaknya melakukan pemeriksaan rutin terhadap sebuah lori kontena kira-kira jam 3.15 petang.
“Perbuatan mengimport barang dagangan dengan mengemukakan dokumen mengelirukan akan disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Akta 728).
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – Malaysiapost

