SELEPAS Pulau Pinang dan Terengganu, kini giliran sebuah hotel bertaraf lima bintang di Melaka menawarkan nasi bajet dalam usaha terus bertahan ketika sektor pelancongan masih ditutup ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Jurumasak Hotel Hatten, Badrol Hisham Mohd Ali berkata langkah itu diambil susulan tiada pelanggan menginap, selain restoran di dalamnya masih ditutup.
“Selain menambah pendapatan hotel yang terkesan dengan pandemik, jualan nasi bajet diharap dapat memberi sedikit kegembiraan kepada orang ramai yang terjejas pendapatan untuk mendapatkan makanan pada harga lebih murah.
“Kami membuat jualan nasi bajet ini bermula Jumaat lepas dan sambutan diterima amat menggalakkan apabila kira-kira 500 orang mengunjungi gerai setiap hari,” katanya seperti dilaporkan Bernama, hari ini.
Mengulas lanjut, Badrol Hisham berkata juadah yang disediakan bagi nasi bajet ialah nasi putih bersama seketul ayam atau sepotong ikan serta sedikit sayur.
“Ada juga pilihan lauk lain seperti ayam madu, ayam percik, ketam, kek dan biskut namun ia dijual dengan harga berasingan.
“Kami menawarkan menu yang berbeza setiap hari agar pelanggan dapat menikmati juadah yang berbeza dan tidak jemu dengan lauk yang sama,” katanya sambil menambah jualan itu bermula pada jam 12 tengah hari dan berakhir pada 8 malam setiap hari.
Badrol Hisham berkata buat masa ini, jualan nasi bajet akan dilakukan selama sebulan dan pihaknya akan mengambil tindakan lanjut berdasarkan perkembangan semasa PKP.
Pelanggan yang hanya mahu dikenali Azlin, 22, gembira dengan jualan nasi bajet itu kerana hanya bekerja sebagai jurujual di kedai barangan kesihatan berhampiran hotel berkenaan.
“Memandangkan Banda Hilir merupakan kawasan tumpuan umum dan kebanyakan kedai makan menjual makanan dengan harga yang sedikit mahal, justeru nasi bajet ini membantu saya mendapatkan makanan dengan harga lebih murah.
“Walaupun terpaksa beratur panjang dan mengambil masa kira-kira 30 minit namun saya rasa berbaloi dengan harga ditawarkan,” katanya. – Malaysiapost
.
Artikel berkaitan :

