NOTIS amaran bukan kompaun, kata Majlis Perbandaran Kluang (MPK) berhubung dakwaan mengenakan denda terhadap pemilik rumah yang menganjurkan kelas pengajian al-Quran ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menerusi kenyataan, MPK menjelaskan pihaknya mengeluarkan notis amaran sebagai langkah untuk memberi peringatan dalam mengekang penularan Covid-19.
Katanya, tindakan itu diambil susulan aduan daripada orang awam yang gusar berkaitan aktiviti itu yang diadakan di kejiranan mereka sepanjang tempoh perlaksanaan PKP.
“MPK ingin merujuk kepada satu isu tular yang telah disebarkan melalui Facebook dan aplikasi WhatsApp berkenaan seorang pemilik rumah yang dikenakan tindakan kerana menjalankan aktiviti kelas pengajian al-Quran di rumah semasa PKP.
“Kegusaran ini berlaku disebabkan kelas diadakan secara berkumpulan atau ramai dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan kerajaan.
“Hasil siasatan mendapati pemilik rumah tersebut mengaku mengadakan kelas al-Quran dengan membabitkan tenaga pengajar yang hadir ke rumahnya dan terdapat tujuh murid terdiri anaknya serta jiran pada setiap sesi,” katanya.

Menurut kenyataan itu, notis amaran dikeluarkan sebagai langkah mencegah berlakunya apa-apa penyakit berjangkit, boleh berjangkit atau boleh dicegah.
“MPK ingin menegaskan sekali lagi bahawa hanya notis amaran dikeluarkan kepada pemilik dan bukan tindakan kompaun sebagaimana yang telah ditularkan.
“MPK sekali lagi ingin mengingatkan orang ramai untuk bersama-sama mematuhi SOP yang dikeluarkan kerajaan sebagai langkah membendung penularan wabak Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

