Covid-19: Makin ramai isi rumah tak mampu beli barang dapur, bayar bil

0
2

SEBANYAK 63 peratus ketua isi rumah tidak mampu menampung perbelanjaan harian termasuk membeli barangan dapur dan membayar bil susulan kesan ekonomi akibat Covid-19.

Berdasarkan laporan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef), tinjauan membabitkan 500 ketua isi rumah itu mendapati ia berpunca daripada kurangnya peluang pekerjaan dan simpanan kecemasan yang hampir tiada.

Unicef turut melaporkan, pengangguran dalam kalangan golongan itu meningkat dua kali ganda sejak tahun lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Kajian mendapati, kadar pengangguran meningkat daripada tujuh peratus pada September kepada 15 peratus pada Disember dengan satu daripada tiga orang dewasa isi rumah tidak mempunyai pekerjaan.

Ia sekali gus, menjadikan kadar kemiskinan dalam kalangan keluarga ini kekal tinggi iaitu pada 42 peratus, di sebalik bantuan kerajaan yang meringankan beban mereka.

Kadar kemiskinan bagi keluarga diketuai oleh wanita atau orang kurang upaya (OKU) mencatat jumlah tinggi, di mana hampir separuh hidup dalam kedaifan.

Sementara itu, isu kestabilan dan kesihatan mental banyak mempengaruhi ketua isi rumah, dengan wanita dilaporkan lebih cenderung terjejas mengalami tekanan mental dan emosi.

Bimbang gagal menyediakan makanan yang mencukupi untuk keluarga dan kekurangan peluang pekerjaan dilapor penyumbang utama kepada insiden tekanan dalam kalangan wanita, selain kebimbangan terhadap pendidikan anak-anak.

Sehubungan itu, kajian mendapati pemulihan dalam kalangan isi rumah adalah tidak sekata, selepas ramai menghadapi situasi lebih buruk sejak September 2020. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

  1. https://malaysiapost.com.my/2020/12/08/kerajaan-serius-tangani-masalah-kemiskinan-rakyat/
  2. https://malaysiapost.com.my/2020/12/03/sabah-catat-kadar-kemiskinan-tertinggi/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here