SEBANYAK 943 kemalangan direkodkan di Negeri Sembilan adalah disebabkan mengelak binatang melintas termasuk haiwan ternakan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Ibrahim Abdul Kadir berkata, daripada jumlah kemalangan berkenaan, ia membabitkan lima kemalangan maut, 12 mengakibatkan cedera parah dan 35 cedera ringan.
“Tahun lalu, kemalangan elak lembu mencatatkan tiga kemalangan maut, empat cedera parah dan sembilan cedera ringan. Bagi kemalangan mengelak kerbau pula, dua kemalangan maut direkodkan, dua parah dan satu cedera ringan.
“Bagi kemalangan elak kambing pula terdapat satu kes kemalangan cedera ringan dicatatkan,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.
Katanya, jumlah itu adalah 4.7 peratus daripada keseluruhan 19,879 kemalangan.
Ibrahim berkata, bagi bulan lalu sahaja, sebanyak 78 kemalangan mengelakkan haiwan berlaku daripada keseluruhan 1,467 kemalangan direkodkan.
“Ia juga membabitkan satu kemalangan maut yang dicatatkan di daerah Jempol, dua cedera parah dan sembilan cedera ringan. Satu kematian adalah kemalangan membabitkan elak lembu dan dua lagi membabitkan kemalangan kecederaan parah mengelak kambing dan anjing.
“Kami berharap agar pemilik haiwan ternakan akan dapat memberikan kerjasama dengan menempatkan haiwan ternakan di dalam kawasan berkurung bagi mengelakkan haiwan berkenaan berkeliaran di jalan raya.
“Risiko kemalangan lebih tinggi kepada pengguna jalan raya sekiranya haiwan ternakan berkenaan berkeliaran di jalan raya pada waktu malam dan laluan gelap,” katanya.
Katanya, selain binatang ternakan seperti lembu, kerbau dan kambing, kemalangan juga melibatkan binatang lain seperti anjing, babi, biawak dan monyet.
“Ia juga membabitkan kemalangan mengelak binatang dilindungi seperti tapir pada tahun lalu dengan iaitu satu kes cedera parah.
“Tahun lalu terdapat tiga kemalangan cedera parah membabitkan anjing dan masing-masing satu bagi biawak dan monyet. Bagi kes kemalangan cedera ringan pula, 12 kemalangan membabitkan anjing, lapan kes elak babi dan satu kes elak kucing,” katanya. -Malaysiapost

