AHLI Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menegaskan beliau tidak akan sesekali berputus asa terhadap Umno walaupun dipecat dari parti itu kerana didakwa pro terhadap sesebuah parti Melayu.
Bekas Setiausaha Usaha Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata, beliau istiqamah dengan pendirian bahawa Umno hanya akan menjadi kuat sekiranya parti itu berupaya bermuafakat dan berkerjasama dengan semua parti Melayu yang lain.
“Saya tidak akan ‘give up’ walau saya dipecat kerana dikatakan pro sebuah parti melayu, saya istiqamah dengan pendirian bahawa parti saya hanya akan menjadi kuat sekiranya parti saya berupaya bermuafakat dan berkerjasama dengan semua parti Melayu yang lain.
“Dan seterusnya memupuk kesatuan dgn parti-parti dan bangsa lain dalam sebuah negara berbilang bangsa dan agama,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Annuar berkata, pendiriannya itu tetap teguh meskipun sesetengah pihak menghasut supaya membenci antara parti Melayu.
“Dan perkara itu sedang rancak dilancarkan oleh pihak tertentu dan disambut secara tak sedar oleh sesetengah orang Melayu sendiri, kita wajib terus berusaha agar penyatuan dan muafakat parti dan orang Melayu mesti dijadikan realiti.
“Tanggungjawab ini bukan sekadar satu strategi politik, tapi satu jihad dalam menunaikan perintah Allah SWT,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan Umno wajib memimpin dengan menerapkan perpaduan dan muafakat.
“Apakah fitrah manusia lebih cenderung kepada permusuhan dari perdamaian?
“Dua anak Adam,di awal kejadian manusia pun berbalah satu sama lain. Namun mendamaikan antara pihak yg berbalah, adalah perintah agama.
“Berpegang teguh pada tali Allah dan tidak bercerai berai juga perintah Allah kepada gulungan “AAMANU”..(orang yg beriman),” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:

