Nurul Huda Abhar
JANGKITAN Covid-19 di Pahang yang meningkat mendadak, antara lain dikenal pasti disebabkan kewujudan tujuh kluster berpunca daripada pergerakan rentas negeri antara 7 Disember 2020 hingga 6 Februari lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sr Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Pahang adalah 3,344 kes dengan 12 kematian.
Menurut beliau, secara keseluruhan, kes Covid-19 di negeri itu semasa gelombang ketiga majoriti adalah dalam kalangan lelaki (71 peratus), warganegara Malaysia (74.4 peratus), berusia 20 hingga 39 tahun (49.6 peratus), kes di dalam kluster (71.3 peratus) dan tidak bergejala (79.3 peratus).
“Tujuh kluster yang berpunca daripada pergerakan rentas negeri ke Pahang antara 7 Disember 2020 hingga 6 Februari 2021 ialah Kluster INTEN, Semambu, Tembok Mempaga, Rantau Lada, Bukit Gelugor, Sawmill Luit dan Kampung Bukit Lada.
“Peningkatan kes baharu penularan tempatan pula menunjukkan telah berlaku transmisi dalam komuniti di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau sempat meluangkan masa melakukan lawatan kerja rasmi ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang.
Taklimat ringkas mengenai situasi semasa Covid-19 di Pahang telah diberikan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, JKN Pahang, Dr Shahdatul Dewi Nur Khairitza Taib.
Turut hadir, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Bahari Tok Muda Che Awang Ngah, pengurusan tertinggi JKN Pahang serta wakil hospital dan Pejabat Kesihatan Daerah dari seluruh negeri Pahang. – Malaysiapost
.
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/06/selangor-catat-kadar-rt-1-13-tertinggi-di-malaysia/

