Buku Tommy Thomas, polis buka 3 kertas siasatan

0
1

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menerima 134 laporan terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berhubung penerbitan buku yang didakwa mengandungi fakta tidak benar, menghina dan berunsur fitnah.

Susulan itu, tiga kertas siasatan telah dibuka berhubung penerbitan buku berkenaan, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

Memetik laporan Berita Harian, Huzir berkata satu kertas siasatan terhadap bekas peguam negara itu dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu memfitnah.

“Satu lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 203A Kanun Keseksaan (membocorkan maklumat) dan Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Kertas siasatan ketiga mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 (perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut),” katanya hari ini.

Huzir berkata, siasatan berhubung kes tersebut dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman.

“Siasatan secara terperinci sedang dijalankan sebelum memanggil mana-mana pihak termasuk Tommy untuk dirakam keterangan,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan sebelum ini dilaporkan berkata penulisan buku biografi bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ itu menjurus kepada unsur penghinaan serta berniat jahat.

Kesan penulisan itu katanya, boleh menjatuhkan integriti dan maruah serta institusi perundangan negara selain pegawai undang-undang sendiri.

Antara yang telah membuat laporan polis ialah bekas pegawai kanan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria serta bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/06/buku-tommy-thomas-banyak-aspek-karut-takiyuddin/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here